FINAS sedia dana bantu pembikin filem muda

KUALA LUMPUR: Pembikin filem muda dilihat sebagai aset industri perfileman tempatan berdasarkan potensi pergi lebih jauh, selain menjadi golongan pelapis pada masa depan.

Menyedari hakikat itu, sebagai badan peneraju dalam membangunkan industri filem tempatan, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengambil langkah proaktif dan progresif memanfaatkan kehadiran golongan pelapis dalam industri perfileman tempatan dengan menyediakan sokongan latihan.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim, berkongsi pandangan peranan dimainkan FINAS dalam usaha menyokong golongan pembikin filem muda ketika diundang sebagai tetamu program ReelFocus yang juga antara pengisian Festival Filem Antarabangsa Beijing Ke-13 di Beijing, China, baru-baru ini.

Md Nasir berkata, antara pelan strategik yang sudah dan sedang dilaksanakan dengan memberi pendedahan global kepada golongan pembikin filem muda termasuk berkongsi ilmu pengetahuan dengan penggiat industri perfileman antarabangsa.

“FINAS bekerjasama dengan tiga syarikat perfileman di seluruh Asia Tenggara untuk mengukuhkan perancangan filem tempatan boleh membolosi peringkat antarabangsa.”

Md Nasir

“Kami melancarkan Makmal Pembangunan Malaysia untuk Filem Cereka Fiksyen (MyLAB) dan usaha itu turut menyatukan FINAS, Suruhanjaya Filem Singapura (SFC), Majlis Pembangunan Filem Filipina (FDCP) dan Agensi Kandungan Kreatif Taiwan (TAICCA) untuk membangunkan naskhah termasuk membawa pengarah, penulis skrip dan penerbit baharu dari rantau ini.

“Selain itu, lapan projek dipilih untuk pameran pada edisi pertama MyLAB ketika Festival Filem Antarabangsa Busan (BIFF).

“Turut dianjurkan, program inkubator khusus untuk penulis skrip, pengarah dan penerbit yang ingin mengusahakan pembangunan skrip dan projek filem di bawah bimbingan pakar kreatif dan industri menerusi kerjasama bersama BIFF dan Pasaran Kandungan & Filem Asia (ACFM) yang juga rakan kongsi MyLAB antarabangsa yang pertama,” katanya kepada BH Online.

Tambah Md Nasir, inisiatif lain yang turut disediakan termasuk menerusi pembiayaan khas bagi membantu pembikin filem menghasilkan karya lebih kreatif.

“Pembikin filem muda juga mendapat kemudahan pembiayaan yang mampu membantu meningkatkan kualiti produksi, sekali gus menggalakkan lebih banyak peluang pekerjaan menerusi Dana Kandungan Digital (DKD).

“Dana khas ini bertujuan membangunkan, memupuk dan membiayai kandungan tempatan merentasi pelbagai projek daripada filem cereka, dokumentari, pendek, drama, program hiburan dan kandungan interaktif.

“Pembiayaan lain turut disediakan seperti Dana Mikro dan Dana Filem Pendek bernilai sehingga RM30,000 untuk setiap projek merangkumi peringkat pembangunan, pengeluaran serta pasca pengeluaran.

“Di samping itu, Dana Filem Cereka Pertama (FAME) bernilai RM5 juta sudah dilancarkan untuk pembikin filem kali pertama dan kedua untuk menghasilkan filem cereka berdaya maju, tahun ini,” katanya yang turut diundang sebagai penyampai trofi pada malam kemuncak Festival Filem Antarabangsa Beijing.

Beliau berkata, FINAS komited untuk menyokong pembikin filem berbakat besar dalam pelbagai program ke arah meluaskan, menambah ilmu pengetahuan dan kepakaran yang diperlukan memandangkan bakat, kreativiti dan kemahiran adalah pemacu utama daya saing dalam sektor kandungan kreatif.

“Ini termasuk menganjurkan Festival Filem Pelajar Malaysia dan pertandingan filem tahunan yang meraikan generasi pembikin filem dari seluruh universiti awam dan swasta di Malaysia,” kata Md Nasir lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Md Nasir turut mengingatkan pembikin filem muda supaya sentiasa siap siaga berdepan cabaran pada masa depan terutama dalam menghadapi iklim perfileman global yang sentiasa berubah-ubah.

“Memandangkan saiz pasaran filem dan hiburan global dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan (CAGR) sebanyak 7.2 peratus antara 2022 hingga 2030, minat dalam industri kreatif berkembang dalam kalangan negara maju dan membangun.

“Oleh itu, ini adalah masanya untuk perubahan besar dalam industri perfileman dan pembikin filem muda dilihat berminat menerima perubahan yang berlaku dan memanfaatkan sepenuhnya cabaran pada masa akan datang.

“Industri perfileman sentiasa berkembang termasuk menggabungkan teknik baharu. Contohnya, media atas permintaan, kandungan peribadi, perubahan model perniagaan dan kemunculan teknologi baharu.

“Secara khususnya, kami perlu menganalisis dan bersedia untuk pengembangan teknologi digital seperti yang ditunjukkan dalam komunikasi perniagaan maya dan cara ekonomi digital merombak struktur industri, memacu cara baharu untuk menghasilkan, mengedar serta menjana pendapatan menerusi kandungan kreatif merentas landskap baharu,” katanya.

Pada acara itu, Md Nasir turut berkesempatan mengadakan pertemuan dengan penerbit filem terkenal dari China, Gordon Chan.

Sebelum ini, Chan pernah bekerjasama dengan ramai bintang terkenal termasuklah pemenang Anugerah Oscar, Tan Sri Michelle Yeoh dan pelakon filem aksi tersohor, Jackie Chan.

Related post