Viral

‘Dia Isteri Saya, Hak Saya Nak Cium Pipi Atau Bibir’

Pelakon dan penyampai radio, Fazziq Muqris, 26, tampil memohon maaf selepas tindakannya berkongsi video kemesraan bersama isteri di media sosial mengundang kritikan ramai.

Pemilik nama sebenar Muhammad Fazziq Muqris Mohd Shariff, mengakui tidak menjangka aksi tersebut akan menjadi perdebatan, namun menerima teguran yang diberikan dengan hati terbuka dan berjanji untuk lebih berhati-hati selepas ini.

“Saya fikir perkara itu tidak terlalu keterlaluan kerana dia isteri saya yang sah dan halal, Alhamdulillah. Bagi saya, itu hak saya sama ada mahu mencium pipi atau bibir.

“Saya juga selalu ingatkan isteri, orang boleh cakap apa sahaja. Selalunya, mereka lebih nampak keburukan berbanding kejayaan. Jadi, ambil pengajaran dan lebih berhati-hatilah selepas ini.

“Kalau ada netizen yang tidak suka, jangan risau, kami tidak akan ulangi lagi selepas ini, saya mohon maaf,” katanya.

Mengulas lanjut, Fazziq tidak menafikan isterinya, Areeqa turut terkesan dengan kecaman yang diterima sehingga memberi kesan kepada emosi.

“Isteri memang sedih dan ‘down’. Mungkin ada yang komen sekadar mahukan perhatian. Sebagai suami, saya cuba tenangkan dia dan beri semangat supaya teruskan kehidupan seperti biasa.

“Apa yang berlaku kita lepaskan sahaja. Kalau kita terlalu fikir, kita tidak akan ke mana. Kita tidak pendam, tapi cuba pulihkan diri dan teruskan ke hadapan,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, Fazziq turut menasihati isterinya agar tidak melayan komen negatif yang dilontarkan wargamaya.

“Saya pesan pada isteri, dalam media sosial ini, jangan beri reaksi kepada perkara negatif.

“Kalau kita balas, mereka akan rasa menang. Jadi, biarkan sahaja. Kalau tak suka, boleh ‘scroll’. Kalau suka, komenlah dengan baik,” ungkap actor itu.

Terdahulu, pasangan itu menjadi perhatian selepas Areeqa memuat naik video sebagai tanda sokongan terhadap penyertaan Fazziq dalam pertandingan Hyrox.

Bagaimanapun, aksi mereka bercium dalam video tersebut mengundang rasa kurang senang dalam kalangan netizen yang berpendapat ia tidak sesuai dipertontonkan secara terbuka, meskipun mereka adalah suami isteri.

Untuk rekod, Fazziq mendirikan rumah tangga bersama Areeqa pada 22 November tahun lalu.

Related Articles

Back to top button