Viral

Wanita Saman Singapore Airlines, Dakwa Serpihan Lidi Sate Tersangkut Di Tekak

Seorang wanita yang juga bekas bintang pop kanak-kanak memfailkan saman terhadap Singapore Airlines (SIA) selepas mendakwa serpihan lidi sate ayam tersangkut di tekaknya sehingga menyebabkan kecederaan dan parut pada pita suara.

Menurut The Independent, insiden itu berlaku ketika beliau menaiki penerbangan dari Singapura ke Los Angeles pada 28 Julai 2024.

Berdasarkan dokumen saman yang difailkan peguamnya, wanita berusia 44 tahun, Briohny Smyth, dihidangkan sate ayam yang dicucuk menggunakan lidi kayu ketika berada di kelas perniagaan.

Ketika menikmati hidangan itu, serpihan kayu sepanjang 1.5 inci (3.8 sentimeter) daripada lidi tersebut didakwa tersangkut dalam tekaknya.

Insiden itu menyebabkan dia mengalami kesakitan serta-merta, rasa tercekik, batuk, kesukaran bernafas dan kecederaan fizikal.

Walaupun akhirnya berjaya mengeluarkan serpihan kayu itu dengan batuk, Smyth menyifatkan detik tersebut sebagai pengalaman yang amat sukar.

Dia turut mendakwa mengalami ketidakselesaan berpanjangan pada tekak, keletihan suara, suara serak, rasa tegang serta kesakitan apabila bercakap atau menyanyi dalam tempoh yang lama.

Selepas mendapatkan rawatan daripada pakar telinga, hidung dan tekak (ENT), Smyth dimaklumkan pita suaranya mengalami trauma serta parut akibat insiden berkenaan.

Dia kini menuntut ganti rugi daripada Singapore Airlines meliputi kos rawatan perubatan lalu dan masa depan, kehilangan pendapatan serta potensi pendapatan, tekanan emosi dan pampasan lain.

Ketika dihubungi, jurucakap Singapore Airlines memberitahu The Independent, syarikat itu tidak dapat mengulas mengenai kes yang masih dalam prosiding mahkamah.

Menurut dokumen saman tersebut, Smyth menggambarkan dirinya sebagai penyanyi profesional, penghibur, pendidik kesejahteraan dan penceramah awam, yang sumber pendapatannya banyak bergantung kepada keadaan serta prestasi suaranya.

Akaun Instagram miliknya juga menyatakan dia merupakan seorang guru yoga yang banyak berinteraksi dengan orang ramai sebagai sebahagian daripada kerjayanya.

Media Thailand turut melaporkan Smyth merupakan bekas bintang pop kanak-kanak yang mula mencipta nama selepas menghasilkan album yang mencapai status platinum ketika berusia 13 tahun.

Related Articles

Back to top button