Pelanggan Terlebih Bayar RM2,057.91 Untuk Semangkuk Lor Mee S$6.50, Pemilik Gerai Tunggu Hampir Sebulan Pulangkan Wang

Seorang pelanggan di sebuah gerai mi di Bukit Purmei, Singapura, secara tidak sengaja membuat bayaran 650 dolar Singapura (RM2,057.91) untuk semangkuk Lor Mee yang sebenarnya berharga hanya 6.50 dolar Singapura (RM20.57).
Pemilik gerai itu bagaimanapun tidak mempunyai cara untuk mengesan pelanggan berkenaan dan hanya berjaya memulangkan wang tersebut hampir sebulan kemudian apabila lelaki itu kembali ke gerainya, lapor Shin Min Daily News.
Gerai berkenaan ialah Kai Fa Signature Lor Mee, yang terletak di sebuah kedai kopi di Blok 109 Bukit Purmei Road, Singapura.
Pemiliknya, Vincent See, 48, berkata pelanggan itu datang untuk membeli mi, mengimbas kod untuk membuat bayaran sebelum terus beredar.
Hanya ketika memeriksa akaun pada lewat hari yang sama, See menyedari terdapat bayaran sebanyak 650 Singapura dolar (RM2,057.91) masuk ke akaun gerainya.
Memandangkan semangkuk lor mee berharga hanya 6.50 dolar Singapura (RM20.57), dia mengesyaki pelanggan tersebut tersilap memasukkan jumlah bayaran.
Bagaimanapun, terlalu ramai pelanggan datang pada hari itu dan See tidak dapat mengingati siapa yang membuat bayaran berlebihan tersebut.
See kemudian menghubungi pihak bank untuk memaklumkan mengenai lebihan bayaran itu, supaya sekiranya pelanggan berkenaan membuat pertanyaan, pihak bank mengetahui bahawa dia sedang cuba memulangkan wang tersebut.
Dia menunggu selama kira-kira tiga hingga empat minggu sebelum pelanggan itu akhirnya kembali ke gerai berkenaan.
Rupa-rupanya, lelaki tersebut berada di luar negara dan hanya menyedari 650 dolar Singapura (RM2,057.91) hilang daripada akaun selepas menyemaknya baru-baru ini.
Mengesyaki dirinya tersilap membuat bayaran, dia kembali ke kedai kopi itu untuk bertanyakan perkara tersebut kepada See.
Selepas mengesahkan butiran pelanggan itu, See memulangkan 643.50 dolar Singapura (RM2,036.91), iaitu baki selepas menolak harga semangkuk lor mee yang sebenar.



