Lufya Kemurungan Selepas Cerai, Badan Jadi Gemuk

Pelakon Lufya Omar, 41, mengimbas kembali pengalaman melalui perceraian enam tahun lalu yang disifatkannya sebagai antara detik paling sukar dalam hidup.
Pemilik nama sebenar Lutfyah Sheikh Omar berkata, kecurangan yang berlaku dalam rumah tangga ketika itu membuatkan dirinya begitu kecewa sehingga berdepan kemurungan yang teruk.
“Selepas perceraian enam tahun lalu, saya mengalami kemurungan. Saya menjadi gemuk kerana hanya dengan makan saya berasa gembira. Saya sangat kecewa kerana meninggalkan kerjaya dan setia sepenuhnya kepada perkahwinan, namun dibalas dengan kezaliman dan kecurangan.
“Kehidupan yang saya jalani ketika itu tidak seindah yang dicemburui ramai. Tekanan datang dari segenap sudut, kanan, kiri, atas dan bawah,” luahnya menerusi hantaran di media sosial.
Akibat pengalaman tersebut, Lufya mengakui pernah menutup pintu hati untuk menerima insan baharu dan memilih untuk memberi tumpuan kepada proses memperbaiki diri selain membesarkan anak tunggalnya, Laana Haura.
Dalam usaha membina semula kehidupan, Lufya turut berdepan cabaran apabila kebanyakan tawaran lakonan yang diterimanya ketika itu memerlukan dirinya membuka tudung.
“Saya tertekan dengan keadaan kewangan. Saya berdoa kepada Allah, ‘Ya Allah, jika keputusan membuka hijab ini Kau tidak reda, maka bantulah aku mencari rezeki yang halal. Pandaikanlah aku berniaga’.
“Saya bermonolog dengan Tuhan dan meluahkan segala-galanya. Saya beritahu Allah yang saya tidak pandai berniaga, saya cuma tahu menyanyi dan berlakon sahaja. Saya rasa hidup sudah gelap dan tidak kuat,” katanya.
Bagaimanapun, saranan ibunya supaya menjual kek durian milik seorang kenalan akhirnya membuka jalan baharu buat Lufya. Meskipun pada awalnya tidak berminat dalam bidang bakeri, permintaan terhadap kek tersebut yang semakin meningkat mendorongnya belajar menghasilkan kek sendiri.
“Tiga, empat kali belajar pun saya masih tidak pandai kerana memang tidak berminat. Tetapi saya paksakan diri demi kelangsungan hidup. Akhirnya, saya jatuh cinta dengan dunia bakeri dan sekarang pelbagai jenis kek saya boleh buat.
“Berkat hasil jualan kek itulah saya membesarkan Laana Haura dan memperoleh banyak lagi kejayaan lain yang belum bersedia saya kongsikan,” jelasnya.
Melihat kembali segala ujian yang dilalui, Lufya menganggap pengalaman tersebut sebagai proses yang mematangkan dirinya selain bersyukur atas rezeki yang diterima, termasuk peluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci setiap tahun.
Untuk rekod, Lufya pernah mendirikan rumah tangga dengan doktor, Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum sebelum mereka bercerai pada 17 Jun 2020.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Laana Haura.



