Lagu Baharu

“Tidak Semua Luka Perlu Dibalas Dengan Luka”

Penyanyi Ernie Zakri membuka lembaran baharu dalam perjalanan seninya menerusi single terbaharu, Sejambak Bunga, yang dilancarkan pada Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) baru-baru ini.

Lagu itu dipersembahkan buat pertama kali ketika pertunjukan fesyen Lerai karya pereka fesyen Zaimi Zulkafli di Esplanade, KLCC Park, sekali gus menjadikan pentas fesyen berkenaan lokasi istimewa buat karya terbaharunya.

Bagi Ernie, pemilihan pentas itu bukan sekadar kebetulan apabila konsep Lerai dilihat mempunyai semangat yang seiring dengan mesej yang ingin disampaikan menerusi Sejambak Bunga.

“Apabila saya memahami konsep Lerai yang dibawa oleh Zaimi, saya rasa ada persamaan dengan apa yang ingin saya sampaikan melalui Sejambak Bunga.

“Muzik dan fesyen mempunyai cara yang berbeza untuk bercerita tetapi kedua-duanya mampu menyampaikan rasa dan emosi. Sebab itu saya rasa pentas ini sangat sesuai untuk memperkenalkan lagu ini,” katanya.

Lebih daripada sekadar karya baharu, Sejambak Bunga memperlihatkan sisi Ernie yang lebih reflektif dan matang apabila mengangkat tema kebangkitan, pengalaman hidup serta keberanian untuk menerima apa yang telah berlaku sebelum melangkah ke hadapan.

Menurut Ernie, lagu ciptaan dan tulisan Hael Husaini bersama Iqie Hugh itu cukup dekat dengan perjalanan hidupnya ketika ini.

“Sejambak Bunga bagi saya ialah sebuah lagu tentang kebangkitan. Kita semua melalui pelbagai fasa dalam kehidupan dan setiap pengalaman itu sedikit sebanyak membentuk siapa diri kita hari ini.

“Lagu ini adalah tentang menerima apa yang telah dilalui, belajar daripadanya dan terus melangkah sebagai versi diri yang lebih baik,” katanya.

Menariknya, Sejambak Bunga juga menjadi karya pertama Ernie hasil sentuhan Hael dan Iqie.

Bagi penyanyi itu, antara mesej paling penting yang mahu disampaikan ialah kekuatan untuk terus memilih kebaikan meskipun pernah berdepan pengalaman yang menyakitkan.

“Tak semua luka perlu dibalas dengan luka. Kadang-kadang kemenangan kita ialah apabila kita tetap memilih untuk menjadi baik.

“Bagi saya, kekuatan sebenar adalah apabila kita mampu terus melangkah dengan hati yang tenang tanpa membiarkan pengalaman lalu mengubah nilai yang kita pegang,” katanya.

Fasa kehidupan Ernie sebagai wanita, isteri, ibu dan anak seni turut mempengaruhi cara beliau melihat karya berkenaan.

Bagaimanapun, Ernie tidak mahu Sejambak Bunga hanya dilihat berdasarkan kisah peribadinya, sebaliknya memberi ruang kepada pendengar untuk mencari makna tersendiri menerusi pengalaman masing-masing.

“Saya mahu orang mendengar Sejambak Bunga dan menemukan cerita mereka sendiri di dalamnya.

“Cerita setiap orang mungkin berbeza, tetapi saya percaya kita semua pernah berada pada satu fasa yang memerlukan kita untuk terus maju. Kalau lagu ini boleh menjadi teman atau memberikan sedikit kekuatan kepada seseorang, itu sudah cukup bermakna buat saya,” katanya.

Mawar putih pula dipilih sebagai simbol utama lagu berkenaan, membawa perlambangan ketenangan, harapan dan permulaan baharu.

“Bagi saya, mawar putih membawa rasa yang sangat tenang. Ia melambangkan permulaan baharu dan ruang untuk kita terus berkembang.

“Kita tidak perlu melupakan apa yang pernah dilalui, tetapi kita boleh menghargainya sebagai sebahagian daripada apa yang membentuk diri kita hari ini,” katanya.

Dengan Sejambak Bunga, Ernie bukan sahaja memperkenalkan karya baharu, malah membuka ruang untuk berkongsi sisi dirinya yang lebih matang sambil mengajak pendengar menafsir kisah di sebalik lagu itu berdasarkan perjalanan hidup masing-masing.

Related Articles

Back to top button