Lagu Baharu

Different Bukti Syasya Rizal Masih Lagi ‘Berbisa’

Setelah sekian lama menanti, penyanyi Syasya Rizal, tampil mengubat kerinduan peminat dengan memancarkan single perdananya berjudul Different baru-baru ini.

Karya itu menjadi penanda aras penting dalam perjalanan muzik Syasya sebagai artis solo selain membawa mesej bahawa setiap individu berhak mengejar impian sendiri tanpa perlu membandingkan diri dengan orang lain.

Lebih istimewa, Different turut mencerminkan fasa kehidupan baharu Syasya yang kini bergelar isteri dan ibu, namun masih teguh meneruskan impian dalam industri muzik.

“Saya mencurahkan sepenuh hati dalam lagu ini. Mesej utamanya sangat ringkas, bukan untuk bersaing dengan sesiapa melainkan untuk membina laluan sendiri. Fasa motherhood atau perkahwinan bukanlah penghalang untuk seorang wanita berhenti mengejar impian. 

“Keutamaan kita mungkin berubah tetapi impian tidak perlu dipadamkan. Saya berharap lagu ini dapat memberi peringatan kepada wanita di luar sana bahawa kita boleh terus berubah dan mengejar impian,” katanya.

Menurut Syasya, idea menghasilkan Different tercetus daripada keinginannya untuk memperkenalkan identiti sebenar sebagai artis solo.

Dicipta dan ditulis bersama Amirul Azhar, Asyraf Nasir, Adib Hamdi, Naim Daniel dan Syasya sendiri, lagu ini mengetengahkan elemen pop segar sambil mengekalkan identiti muzik yang pernah dekat dengan peminatnya.

Bercerita mengenai proses pembikinan, Syasya mengakui pengalaman itu cukup bermakna kerana ia juga antara percubaan awalnya dalam bidang penulisan lagu.

“Meskipun saya masih baharu dalam bidang penulisan lagu, mereka sangat terbuka mendengar idea dan pandangan saya. 

“Suasana kerja yang selesa dan saling menghormati membolehkan saya lebih berani untuk menyuarakan apa yang saya inginkan secara kreatif. Semua orang mahukan yang terbaik untuk lagu ini dan daripada situlah lahirnya Different,” tambahnya.

Syasya berharap single berkenaan bukan sahaja dapat menghiburkan pendengar, malah menjadi hadiah buat peminat yang sabar menantikan kemunculan karya solonya.

“Saya berharap para pendengar dapat menikmati tenaga lagu ini dan memahami mesej di sebaliknya. Untuk semua yang telah sabar menanti saya mengeluarkan lagu solo, terima kasih atas kesabaran anda. 

“Insya-Allah, ini hanyalah permulaan kepada banyak lagi perkara menarik yang akan datang,” katanya yang mengharapkan naskhah ini mendapat sambutan baik daripada peminat.

Related Articles

Back to top button