Lagu Baharu

“Saya Sendiri Pernah Melalui Pengalaman Menyakitkan”- Emma Suhaimi

Selepas agak lama menyepi daripada persada muzik, bintang Akademi Fantasia 8 (AF8), Emma Suhaimi, kembali dengan single terbaharu berjudul Tersakiti.

Lagu balada penuh emosi itu mengangkat kisah luka, kekecewaan dan keberanian melepaskan hubungan toksik yang tidak lagi membawa kebahagiaan.

Menariknya, Tersakiti dicipta sepenuhnya komposer dari Indonesia, Ilham Baso, yang sebelum ini mencipta fenomena menerusi lagu Menjaga Jodoh Orang Lain nyanyian Ara Johari.

Menurut Emma, lagu itu bukan sekadar berkisar mengenai perpisahan, sebaliknya membawa mesej supaya seseorang berani mencintai diri sendiri dan meninggalkan hubungan yang memudaratkan.

“Kalau kita sudah tahu berada dalam hubungan toksik, segeralah tinggalkan sebelum kita menjadi lebih tersakiti.

“Kadang-kadang kita terlalu lama bertahan kerana berharap keadaan akan berubah, sedangkan akhirnya hanya diri sendiri yang semakin terluka,” katanya.

Emma berkata, kisah yang dibawa menerusi lagu berkenaan dekat dengan kehidupan ramai individu yang memilih memendam perasaan dan terus bertahan dalam hubungan tidak lagi membahagiakan.

Emma mengakui cabaran terbesar ketika merakamkan Tersakiti bukan dari segi teknikal vokal, sebaliknya memastikan emosi lagu benar-benar sampai kepada pendengar.

Katanya, pengalaman peribadi yang pernah dilalui turut membantunya menghayati setiap bait lirik lagu berkenaan.

“Saya sendiri pernah melalui pengalaman yang menyakitkan dan mungkin itu juga antara sebab saya memilih lagu ini.

“Kekecewaan yang saya lalui selama hampir 16 tahun membuatkan saya lebih memahami setiap bait lirik yang dinyanyikan,” katanya.

Antara lirik yang paling dekat dengan hati Emma ialah ‘Kamu buat aku nyaman tapi tak bisa aku genggam’, yang disifatkannya sebagai gambaran bahawa tidak semua perkara yang membahagiakan akhirnya menjadi milik kita.

Emma berharap Tersakiti dapat menjadi teman kepada mereka yang sedang berdepan episod sukar, terutama individu yang memilih menyimpan luka sendirian.

“Saya harap Tersakiti boleh menjadi suara kepada mereka. Kalau lagu ini mampu memberi kekuatan walaupun kepada seorang pendengar, itu sudah cukup bermakna buat saya,” katanya.

Single terbitan Nova Music Malaysia itu mula distrim di semua platform muzik manakala muzik videonya boleh ditonton menerusi saluran YouTube Nova Music Videos.

Related Articles

Back to top button