“Saya Bukan Bujang & Belum Duda Lagi”

Pelakon, Nafiz Muaz, 28, menafikan dirinya kini bergelar duda atau sudah kembali hidup membujang, sebaliknya menegaskan statusnya masih lagi suami kepada Diyana Omar.
Menurut Nafiz, keadaan itu timbul susulan dirinya yang jarang berkongsi mengenai kehidupan peribadi dan keluarga di media sosial sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen.
“Saya rasa disebabkan saya langsung tidak berkongsi atau mengemas kini apa-apa, mungkin itu yang menyebabkan macam-macam andaian dibuat.
“Gambar Hari Raya pun saya tidak muat naik. Tetapi tidak semestinya kalau kita beraya bersama, semuanya perlu dikongsikan. Kadang-kadang perkara itu adalah kehidupan peribadi.
“Saya sendiri pun tidak berkongsi mengenai diri, apatah lagi keluarga. Ada yang kata saya bujang, ada juga yang kata saya duda. Sampai begitu sekali. Saya bukan bujang dan saya belum duda lagi.
“Kalau boleh, janganlah mendoakan ke arah itu. Kalau suatu hari nanti saya menjadi jodoh tidak panjang sekalipun, semua orang akan tahu,” katanya.
Dalam pada itu, Nafiz berkata, pendirian untuk merahsiakan kehidupan rumah tangga daripada pengetahuan umum sudah diamalkan sejak awal perkahwinannya.
“Sejak awal ketika berkahwin dan mempunyai anak, saya memang tidak banyak berkongsi dengan media. Saya cuba memastikan kehidupan peribadi kekal peribadi.
“Saya pernah beritahu isteri bahawa kerja adalah kerja. Pekerjaan saya tidak perlu melibatkan kehidupan kami, termasuk dia dan anak.
“Saya tidak mahu orang mengenali anak saya dan tidak mahu orang tahu bagaimana keadaan rumah tangga saya, sama ada baik atau tidak. Itu saya sahaja yang tahu.
“Ketika bahagia pun saya tidak pernah berkongsi. Kalau mempunyai masalah sekalipun, saya juga tidak akan berkongsi kerana tidak mahu perkara peribadi memberi kesan kepada kerjaya saya sebagai pelakon,” jelasnya.
Untuk rekod, Nafiz mendirikan rumah tangga dengan Diyana Omar, adinda kepada Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, pada 2 Januari 2021.
Hasil perkahwinan tersebut, pasangan berkenaan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang kini berusia lima tahun.



