“Mama & Dida Memang Bercinta, Bukan Marketing Murahan”

Anak kepada usahawan terkenal, Datuk Seri Vida iaitu Cik B mengesahkan hubungan cinta ibunya dengan cef selebriti, Fazley Yaakob bukan sekadar gimik pemasaran seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Pemilik nama sebenarnya Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin, berkata pada awalnya dia sendiri menyangka hubungan tersebut hanya sekadar strategi pemasaran, namun tanggapannya berubah selepas melihat keserasian antara kedua-duanya.
“Mama dan Dida memang bercinta dan bukanlah marketing murahan. Ia perkara betul. Saya doakan yang baik-baik sahaja. Mula-mula saya pun ingat marketing, tetapi dua-dua terjatuh cinta. Mama adalah type Dida. Dida adalah type mama.
“Dida memang lelaki gentleman walaupun kadang-kadang saya cemburu sebab kasih sayang itu terbahagi. Asalkan dia gembira,” katanya.
Menurut Cik B, dia juga tidak mempunyai masalah sekiranya hubungan tersebut berakhir dengan perkahwinan, malah menyokong sepenuhnya hasrat ibunya untuk mendirikan rumah tangga bersama Fazley.
Malah, katanya, Vida pernah berkongsi impian untuk mengadakan majlis perkahwinan yang bukan biasa-biasa, sebaliknya sesuatu yang besar dan mampu mencuri perhatian ramai.
“Lebih baik kahwin. Dia kata dia tak nak kahwin biasa-biasa. Dia nak macam Ambani Family. Dia nak jadi trend dan masuk Netflix,” ujarnya seperti dilapor Gempak.



