Theater

PGL The Musical Catat Rekod Baharu, Tiket Habis Dalam Masa 2 Jam

Pementasan semula Puteri Gunung Ledang The Musical (PGL) mencipta sejarah baharu apabila kesemua tiket habis terjual dalam tempoh hanya dua jam baru-baru ini.

Sambutan luar biasa itu membuktikan kisah legenda berkenaan masih mempunyai tempat istimewa di hati penonton tempatan selepas hampir dua dekad menemui penonton buat kali pertama.

Pengarah dan pencipta bersama produksi asal, Tiara Jacquelina, mengakui terharu dengan sambutan diterima dan menyifatkan kejayaan itu sebagai sesuatu yang di luar jangkaan.

“Sejujurnya saya sendiri kehilangan kata-kata melihat apa yang berlaku malam itu. Selepas 20 tahun membawa PGL ke pentas, sambutan yang diterima kali ini masih kuat dan menyentuh hati saya,” katanya.

Menurut Tiara, lebih menggembirakan apabila generasi baharu turut menunjukkan keterujaan untuk mengenali dunia PGL, sekali gus membuktikan karya tempatan mampu merentas generasi.

PGL kini kembali ke pentas selepas hampir dua dekad, kali ini di rumah baharunya, Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway Square dan Tiara mengetuai barisan kreatif serta mengarahkan pelakon generasi baharu.

Tiara turut merakamkan penghargaan kepada peminat yang terus menyimpan PGL dalam ingatan termasuk mereka yang pernah menonton pementasan terdahulu dan kini mahu membawa anak masing-masing menyaksikan kisah itu.

“Bagi saya, itulah antara perkara paling indah tentang kepulangan ini. Ada generasi lama yang kembali bersama anak-anak, pada masa sama ada generasi muda yang baru pertama kali akan mengenali dunia PGL,” tambahnya.

Namun, bagi Tiara dan pasukan produksi Enfiniti, kejayaan menjual tiket bukanlah penamat sebaliknya tanggungjawab yang lebih besar untuk memastikan persembahan yang bakal dipentaskan mampu memenuhi malah melangkaui jangkaan penonton.

“Kalau penonton sanggup memberikan kami kasih sayang dan kepercayaan sebesar ini sebelum mereka pun melihat persembahannya, maka kami berhutang kepada mereka untuk memberikan sesuatu yang benar-benar luar biasa apabila tirai dibuka nanti,” katanya.

Bagi ribuan peminat yang gagal mendapatkan tiket, Tiara memohon maaf dan mengakui pihaknya menyedari kekecewaan mereka yang terpaksa menunggu dalam barisan dalam talian tanpa hasil.

“Dan mungkin perjalanan PGL belum berakhir di sini. Sudah ada beberapa pihak yang mendekati kami dan perbincangan awal mengenai kemungkinan membawa PGL melangkaui musim ini, termasuk minat dari beberapa negeri lain di Malaysia,” jelanya lagi.

Sebagai info, PGL akan dipentaskan dari 31 Oktober hingga 15 November tanpa sebarang pementasan tambahan. 

Related Articles

Back to top button