‘Panggilan Dari Istana’, Tiket Puteri Gunung Ledang The Musical Mula Dijual 21 Ogos

Selepas hampir dua dekad, Puteri Gunung Ledang The Musical bakal kembali menggegarkan pentas menerusi pementasan terbaharu yang dijadual berlangsung dari 31 Oktober hingga 15 November depan.
Muzikal terbitan Enfiniti dengan kerjasama Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC) itu akan dipentaskan di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway Square, Sunway City Kuala Lumpur.
Menariknya, jualan tiket kepada umum akan dibuka bermula 21 Ogos ini, manakala pemegang kad AFFIN berpeluang mendapatkan tiket menerusi tempoh jualan keutamaan selama 72 jam bermula 18 Ogos, pukul 8 malam.
Penerbit Eksekutif Bersama merangkap Pengarah, Datin Seri Tiara Jacquelina berkata, sambutan awal terhadap pengumuman pementasan itu amat menggalakkan apabila pihaknya menerima banyak pertanyaan daripada peminat.
“Permintaan diterima serta-merta apabila pertanyaan membanjiri Threads, Instagram, TikTok dan talian tiket JCPAC. Malah, beberapa syarikat korporat turut membuat tempahan awal sebelum musim persembahan awam bermula.
“Sudah lapan tahun sejak Enfiniti mementaskan OlaBola The Musical dan saya hampir terlupa debaran menjelang pembukaan sebuah produksi berskala besar. Melihat keterujaan penonton membuatkan kami semakin bersemangat,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Tiara, persiapan produksi kini giat dilakukan dengan pasukan kreatif dan teknikal memberi tumpuan kepada setiap perincian termasuk muzik, koreografi, rekaan pentas, kostum serta kesan khas.
Latihan penuh pula dijadualkan bermula pada 17 Ogos ini sebagai persediaan sebelum muzikal berkenaan dipersembahkan kepada penonton.
Untuk edisi kali ini, watak ikonik Puteri Gunung Ledang akan dilakonkan secara bergilir-gilir oleh Aisha Retno dan Mila Mohsin, manakala watak Hang Tuah pula diberikan kepada Aqasha.
Turut menyertai barisan pelakon ialah Mimi Fly, Nadia Aqilah, Luqman Hafidz dan Yusof Hashim.



