“Berhati-Hati Improvisasi Lagu Etnik, Nanti Jadi Perang Saudara”

Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris, 58, mengingatkan penyanyi yang membawakan lagu berunsurkan etnik supaya lebih teliti ketika melakukan improvisasi, terutama membabitkan lenggok vokal.
Pemilik nama lengkap Nor Aniza Haji Idris, berkata, penggunaan lenggok yang kurang tepat dikhuatiri boleh mengubah identiti dan jiwa asal sesebuah lagu tradisional.
“Kenapa skil improvisasi lenggok nyanyian itu jadi minang? Lenggok nyanyian kita dalam muzik etnik kena dekat dengan instrumen etnik kaum itu baru sampai jiwa sebenar.
“Berhati-hati bila buat improvisasi lagu etnik, takut salah masuk rumah nanti jadi ‘perang saudara’. Bagus, bukanlah saya kata tak bagus, ia percubaan yang sangat baik,” katanya menerusi hantaran di Threads.
Dipercayai, Noraniza berkongsi pandangan tersebut selepas menyaksikan persembahan peserta program Big Stage menyampaikan lagu bertemakan Irama Malaysia pada minggu separuh akhir.
Bagaimanapun, pelantun lagu Hati Kama itu tetap memuji keupayaan vokal peserta yang disifatkannya sebagai bakat muda yang mempunyai potensi.
Menurut Noraniza, pengalamannya menimba ilmu daripada maestro muzik tersohor, Allahyarham Pak Ngah turut membentuk dirinya untuk lebih berdisiplin serta terbuka menerima teguran ketika mempelajari irama tradisional.
“Saya dulu masa belajar dengan Pak Ngah tidak ada panduan cikgu macam sekarang, tidak ada langsung dapat pujian. Kalau salah memang terus kata salah, disuruh balik ubah dan cari lagi ‘air’ etnik sampai jadi.
“Mungkin cara saya ini suka ditegur dgn cara begitu berbanding cara berlapik yang kadang-kadang boleh melekakan. Ini memang cara saya beri sokongan,” katanya lagi.



