Agensi G-Dragon Saman Lebih 100 Individu Kerana Komen Fitnah Di Internet

Agensi G-Dragon, Galaxy Corporation, memperhebatkan tindakan terhadap komen berniat jahat di internet dengan memfailkan saman terhadap lebih 100 individu yang didakwa memfitnah artis itu.
Dalam kenyataan pada 4 Ogos lalu, agensi berkenaan memaklumkan tindakan undang-undang tersebut dibuat hasil laporan peminat serta usaha mereka sendiri mengumpulkan bukti.
Menurut agensi itu, beberapa kes kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa dan mahkamah.
Malah, beberapa individu yang dikenal pasti telah dirujuk kepada pihak pendakwaan atau dibawa ke perbicaraan jenayah, manakala beberapa lagi dikenakan denda ringkas antara 2 juta hingga 7 juta won. Dalam kes lain, pihak pendakwa turut memohon hukuman denda dalam jumlah yang sama.
Galaxy Corporation menegaskan bahawa identiti tanpa nama di media sosial bukanlah perlindungan daripada dikesan atau dikenakan tindakan undang-undang.
Menurutnya, tingkah laku berniat jahat di alam siber boleh membawa kepada implikasi undang-undang yang sebenar.
Agensi itu turut memberi amaran bahawa individu yang berulang kali berkongsi atau menyebarkan semula kandungan berunsur fitnah dan kebencian juga akan dikenakan tindakan undang-undang.
Galaxy Corporation berkata pihaknya sentiasa memantau komuniti dalam dan luar negara, portal internet, media sosial serta platform video bagi mengumpul bukti kesalahan seperti penyebaran maklumat palsu, fitnah, pencerobohan privasi, gangguan seksual serta penyebaran kandungan yang telah dimanipulasi.
Walaupun sesuatu hantaran dipadam atau akaun ditukar kepada mod peribadi atau ditukar identiti, Galaxy Corporation menegaskan bahawa pihaknya akan tetap meneruskan tindakan undang-undang berdasarkan bukti yang telah dikumpulkan.
Agensi itu turut menegaskan bahawa mereka akan terus mengambil tindakan tanpa sebarang kompromi terhadap individu yang melakukan kesalahan tersebut.



