Fajar Noor Terharu Diterima Baik Di Malaysia

“Saya mahu terima kasih buat teman-teman semuanya yang sudah datang ke showcase untuk album pertama, ‘Sementara, Selamanya’. Kalian adalah kenangan yang paling indah untuk Fajar dan semua di Malaysia,” kata penyanyi Indonesia, Fajar Noor.
Fajar meluahkan penghargaan itu selepas lebih 600 peminat memghadiri Sementara, Selamanya Showcase Bersama Fajar Noor di Aloft Kuala Lumpur Sentral, baru-baru ini.
Showcase sulungnya di Malaysia itu menghimpunkan FajarSoul (kelab peminat) dari seluruh negara, malah ada peminat dari Indonesia yang sanggup datang bagi menyaksikan persembahan penyanyi berkenaan secara langsung.
Sambutan luar biasa itu membuktikan album sulung Fajar, Sementara, Selamanya, terus mendapat tempat dalam hati pendengar di Malaysia dan Indonesia.
Menjelang showcase, Fajar terlebih dahulu mendekati peminat menerusi beberapa aktiviti promosi sekitar Kuala Lumpur termasuk sesi busking di SOGO Kuala Lumpur dan Bukit Bintang bersama Syamel serta Khai Bahar.

Tidak sekadar busking biasa, ketiga-tiga penyanyi itu mencipta momen istimewa apabila saling membawakan lagu popular masing-masing.
Fajar dan Khai Bahar bergandingan menyanyikan Cukup Sekali milik Syamel, sebelum Syamel pula membawakan versinya untuk Salah Apa Aku, lagu milik Fajar.
Fajar kemudian membalas dengan menyanyikan Luluh, antara lagu popular Khai Bahar.
Aksi spontan itu mencuri perhatian orang ramai dan menghidupkan suasana di tengah kota, khususnya di Bukit Bintang.
Kemuncak kunjungan Fajar diteruskan menerusi showcase yang turut dihadiri rakan artis tempatan termasuk Khai Bahar dan Odda.

Di hadapan ratusan FajarSoul, Fajar menghidupkan lagu daripada album Sementara, Selamanya menerusi persembahan penuh emosi, selain berkongsi kisah di sebalik karya berkenaan.
Album itu mengangkat tema cycle of love, iaitu perjalanan sesebuah hubungan daripada detik jatuh cinta, konflik dan kehilangan sehingga perasaan yang masih tertinggal selepas hubungan berakhir.
Bagi Fajar, peluang bertemu peminat Malaysia secara langsung cukup bermakna selepas menerima sokongan mereka sejak muziknya mula mendapat perhatian di negara ini.
Kehadiran Fajar di Malaysia juga menjadi langkah penting dalam memperkenalkan karya dan identitinya kepada khalayak lebih luas di rantau Nusantara.
Menerusi Sementara, Selamanya, Fajar bukan sahaja berkongsi kisah peribadi mengenai cinta dan kehilangan, malah memberi ruang kepada pendengar untuk menemukan kisah mereka sendiri dalam setiap lagu.
Album Sementara, Selamanya kini boleh distrim menerusi semua platform penstriman digital.



