Viral

Pernah Menang RM1.4 Juta, Wanita Ini Menang Lagi Nombor Ekor RM12.95 Juta!

Seorang suri rumah berusia 50 tahun dari Perak memenangi hadiah pertama jackpot Toto 4D buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun apabila membawa pulang hampir RM12.95 juta pada 1 Ogos lalu.

Menurut Sports Toto Malaysia, wanita itu memenangi hadiah berjumlah RM12,946,225.55 menerusi nombor 5900 dan 6900, yang dipilih menggunakan pertaruhan Computer Lucky Pick.

Menurut Oriental Daily, wanita itu berkongsi bahawa dia dan suaminya kehilangan pekerjaan ketika pandemik COVID-19 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Dalam tempoh tiga tahun berikutnya, pasangan itu terus membeli tiket Computer Lucky Pick di cawangan Toto.

Tekanan yang dialami sepanjang tempoh itu turut menjejaskan kesihatannya.

Menurut kenyataan tersebut, dia mengalami kemurungan serta kehilangan sebahagian ingatan.
Suaminya sering membawanya kembali ke tempat-tempat yang pernah mereka kunjungi ketika muda dengan harapan ia dapat membantu memulihkan ingatannya.

Dalam salah satu perjalanan ke Lumut, Perak, pasangan itu singgah di Sitiawan untuk makan sebelum membeli tiket Computer Lucky Pick di sebuah cawangan Toto.

Wanita itu kemudian menuntut hadiah kemenangan di ibu pejabat Sports Toto di Kuala Lumpur bersama suaminya.

“Tahun-tahun itu merupakan tempoh paling sukar dalam hidup kami. Walau apa pun cabaran yang dihadapi, suami saya tidak pernah berputus asa terhadap saya dan sentiasa memberi semangat untuk saya terus tabah menghadapi kehidupan.

“Kami langsung tidak menyangka persinggahan biasa dalam perjalanan itu akhirnya mengubah hidup kami sepenuhnya,” katanya.

Ini bukan kali pertama dia memenangi jackpot Toto. Tiga tahun lalu, dia turut memenangi hadiah pertama menerusi tiket Computer Lucky Pick, sekali gus membawa pulang kira-kira RM1.4 juta.

Wanita itu mengimbas kembali detik suaminya menyemak keputusan cabutan secara langsung menerusi telefon bimbit sebelum menyedari mereka telah menang. Mereka kemudian menyemak nombor tersebut berulang kali kerana sukar mempercayainya.

“Pada mulanya kami sangka kami tersalah baca nombor kerana ia terlalu sukar dipercayai. Menang jackpot sekali pun sudah dianggap satu rahmat. Menang buat kali kedua pula langsung tidak pernah saya bayangkan,” katanya lagi.

Wanita itu berkata, wang kemenangan tersebut akan digunakan sebagai dana persaraan, selain memperuntukkan sebahagiannya untuk disumbangkan kepada badan kebajikan serta golongan yang memerlukan.

“Kami pernah melalui saat paling sukar dalam hidup, jadi kami benar-benar memahami betapa berharganya bantuan yang dihulurkan ketika seseorang berada dalam kesusahan. Saya berharap rezeki ini membolehkan kami menyumbang kembali kepada masyarakat dan membawa perubahan positif kepada kehidupan orang lain,” tutupnya.

Sebagai peringatan, judi adalah haram di sisi agama Islam.

Related Articles

Back to top button