Film

Michelle Yeoh Cipta Sejarah Lagi, Kini Dinobat The Asian Filmmaker of the Year

Bintang Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh terus mengharumkan nama negara apabila dipilih menerima anugerah The Asian Filmmaker of the Year pada Festival Filem Antarabangsa Busan (BIFF) Ke-31, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam perkembangan sinema Asia di peringkat dunia.

Menurut BIFF, Yeoh merupakan pelakon versatil yang berjaya mengubah persepsi terhadap watak wanita dalam filem aksi, selain mencipta sejarah sebagai pelakon Asia pertama memenangi Oscar Pelakon Wanita Terbaik menerusi Everything Everywhere All at Once (2022).

Memulakan kerjaya menerusi Yes, Madam! pada 1985, Yeoh kemudian mencipta nama melalui filem seperti Police Story 3: Supercop, Crouching Tiger, Hidden Dragon, Tomorrow Never Dies, Crazy Rich Asians, Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings serta Wicked.

Selain Oscar, kejayaan Yeoh turut disusuli pelbagai pengiktirafan antarabangsa termasuk Golden Globe dan Screen Actors Guild Awards.

Pada 2026, Yeoh sekali lagi melakar sejarah apabila menjadi wanita Asia pertama menerima Honorary Golden Bear pada Festival Filem Antarabangsa Berlin.

Hubungan Yeoh dengan BIFF bermula sejak 2002 dan festival itu akan menayangkan beberapa filem pilihannya termasuk Reign of Assassins, Everything Everywhere All at Once dan Sandiwara (2026).

Anugerah berkenaan akan disampaikan pada majlis pembukaan BIFF Ke-31 di Busan Cinema Center pada 6 Oktober depan.

Related Articles

Back to top button