Concert

Impian Marsha Tercapai, Mahu Cipta Nostalgia Sempena Konsert Ungu

Penyanyi Marsha Milan tidak dapat menyembunyikan keterujaannya apabila bakal berkongsi pentas dengan kumpulan legenda Indonesia, Ungu, sempena konsert Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur sedikit masa lagi.

Lebih bermakna, peluang tampil sebagai artis jemputan khas itu dianggap Marsha sebagai impian yang menjadi kenyataan selepas sekian lama mengagumi kumpulan popular Nusantara berkenaan.

“Sejujurnya apabila Pasha datang membuat persembahan di GV baru-baru ini, saya ada di sana. Dalam hati saya sempat terfikir alangkah indah kalau satu hari nanti dapat berkongsi pentas dan berduet dengan Pasha.

“Jadi apabila saya menerima tawaran ini, saya rasa sangat gembira. Rasa macam angan-angan kecil yang saya simpan dalam diam akhirnya menjadi kenyataan,” kongsinya.

Menurut Marsha, peluang berkongsi pentas dengan antara kumpulan paling berpengaruh di Nusantara itu adalah satu penghormatan besar kerana lagu-lagu Ungu turut diminati oleh jutaan peminat.

Dalam kesibukan membuat persiapan ke Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40), Marsha tetap komited memastikan persembahannya bersama Ungu diberi perhatian sewajarnya.

“Kedua-duanya memang menjadi keutamaan saya. Cuma buat masa sekarang, fokus saya lebih kepada AJL kerana tarikhnya semakin dekat. Selepas itu barulah saya membuat persiapan untuk konsert Ungu pula,” jelasnya.

Marsha berkata, pemilihan lagu solo masih dimuktamadkan kerana mahu mempersembahkan beberapa lagu sendiri, manakala lagu duet diserahkan sepenuhnya kepada Ungu.

“Buat masa ini saya masih dalam proses memilih lagu-lagu untuk persembahan solo. Untuk lagu duet pula, saya serahkan kepada Ungu,” katanya.

Mengulas persembahan yang bakal disajikan pada 5 September hadapan itu, Marsha mahu penonton menikmati pengalaman penuh emosi dan nostalgia menerusi setiap lagu yang dipersembahkan.

“Apa yang penonton boleh jangkakan daripada saya ialah sebuah persembahan yang penuh dengan penceritaan dan emosi, disertai momen-momen ‘sing-along’ yang pasti mengimbau nostalgia. 

“Walau apa pun, fokus utama kita termasuk saya sendiri adalah untuk benar-benar menikmati konsert ini dan mengimbau kembali kenangan melalui lagu-lagu hebat yang akan dipersembahkan oleh Ungu,” ujarnya.

Konsert bersempena ulang tahun ke-30 Ungu itu turut menjanjikan kejutan apabila kumpulan terbabit bakal mempersembahkan sebuah lagu baharu buat kali pertama, selain rangkaian lagu malar segar yang membentuk perjalanan muzik mereka.

“Kalau sebut sahaja lagu-lagu Ungu, memang terus teringat memori. Ramai yang menjadikan lagu mereka sebagai lagu tema perkahwinan, lagu putus cinta, atau teman ketika melalui pelbagai fasa kehidupan. 

“Saya yakin ramai yang pernah ketawa, menangis dan menyanyi bersama lagu-lagu mereka. Saya sendiri pun begitu,” katanya.

Related Articles

Back to top button