Concert

Illinois Isytihar 27, 28 Ogos Sebagai ‘BTS Day’ Sempena Konsert Jelajah Di Chicago

Negeri Illinois, Amerika Syarikat (AS) secara rasmi menyertai senarai kerajaan tempatan yang memberikan penghormatan khas kepada BTS menjelang konsert kumpulan itu yang bakal berlangsung di Chicago.

Menurut laporan media tempatan, Gabenor Illinois J.B. Pritzker menetapkan tarikh konsert pada 27 dan 28 Ogos sebagai BTS Day in Illinois, bersempena persembahan BTS menerusi BTS WORLD TOUR ‘ARIRANG’ IN Chicago di Soldier Field.

Proklamasi rasmi itu menekankan sumbangan BTS terhadap pelbagai isu sosial, termasuk kesedaran mengenai kesihatan mental, kasih sayang terhadap diri sendiri serta aktiviti kebajikan.

Ia turut mengiktiraf bagaimana mesej yang dibawa kumpulan itu selari dengan nilai kemasyarakatan Illinois dan telah mendorong peminat di seluruh dunia untuk terlibat dalam khidmat masyarakat serta aktiviti kebajikan.

Pada 2017, BTS menjadi artis K-Pop pertama bekerjasama dengan Jawatankuasa Korea untuk UNICEF.

Menerusi kempen LOVE MYSELF, kumpulan itu berusaha mencegah keganasan terhadap kanak-kanak dan remaja serta menyokong kesejahteraan mental mereka di 155 negara dan wilayah.

Pada 2020, BTS turut menyumbangkan AS$1 juta kepada kempen Live Nation’s Crew Nation bagi membantu pekerja industri hiburan secara langsung yang terjejas akibat pandemik.

Illinois menjangkakan ribuan pengunjung akan berkunjung ke Chicago untuk menyaksikan konsert berkenaan, yang dijangka memberi rangsangan kepada ekonomi tempatan selain mengukuhkan imej bandar itu sebagai destinasi utama budaya dan seni.

Ini bukan kali pertama kerajaan tempatan memberikan penghormatan khas kepada BTS.
Toronto menetapkan 22 dan 23 Ogos sebagai BTS Weekend dan menamakan semula sebahagian jalan sebagai “BTS Boulevard” buat sementara waktu.

Gabenor Maryland, Wes Moore, pula menerbitkan video ucapan alu-aluan dalam bahasa Korea menjelang konsert BTS di Baltimore, manakala El Paso County, Texas, mengisytiharkan tempoh konsert tersebut sebagai El Paso BTS Weekend dan menyampaikan anugerah “Estimado Amigo” kepada BTS.

Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, turut bertemu BTS secara peribadi dan menyampaikan plak peringatan kepada kumpulan itu bagi pihak kerajaan.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron, dan isterinya, Brigitte Macron, pula menghadiri sendiri konsert BTS di Stade de France, Paris.

BTS akan meneruskan jelajah Amerika Utara mereka di Soldier Field, Chicago pada 27 dan 28 Ogos.

Ia akan menjadi persembahan pertama kumpulan itu di stadium berkenaan dalam tempoh kira-kira tujuh tahun tiga bulan, selepas konsert BTS WORLD TOUR ‘LOVE YOURSELF: SPEAK YOURSELF pada Mei 2019.

Sumber: Allkpop

Related Articles

Back to top button