Lovebites Bakal Gegar Kuala Lumpur

Selepas mencipta nama di pentas metal antarabangsa, kumpulan wanita popular Jepun, Lovebites, akhirnya bakal menggegarkan Kuala Lumpur menerusi penampilan sulung mereka di Malaysia pada 4 Oktober ini.
Aksi lima anggota itu dijangka menjadi antara persembahan yang dinantikan peminat muzik metal tempatan apabila mereka beraksi di Zepp Kuala Lumpur menerusi Lovebites: Outstanding Tour Live In Kuala Lumpur.
Konsert anjuran Rockstage Entertainment itu adalah sebahagian daripada Outstanding Tour – SEA 2026, yang turut membawa kumpulan berkenaan ke Singapura dan Thailand sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.
Bagi Lovebites, kunjungan ke Malaysia bukan sekadar persinggahan dalam siri jelajah Asia Tenggara, sebaliknya peluang untuk bertemu peminat yang selama ini hanya mengikuti aksi mereka menerusi rakaman persembahan.
Ditubuhkan pada 2016, Lovebites dianggotai Asami (vokal), Midori (gitar), Miyako (gitar dan kibod), Fami (bass) serta Haruna (dram).
Mereka cukup dikenali menerusi bunyi heavy metal, power metal dan speed metal yang diserikan melodi dramatik serta permainan instrumental berintensiti tinggi.
Kehebatan Midori dan Miyako pada gitar antara elemen yang mencuri perhatian dalam persembahan Lovebites, terutama menerusi riff dan solo pantas yang menjadi identiti kumpulan berkenaan.
Gabungan itu diperkuatkan pula dengan permainan bass Fami, pukulan dram Haruna serta vokal bertenaga Asami yang menjadikan persembahan mereka cukup agresif dan bertenaga.
Tidak hairanlah Lovebites berjaya menembusi pasaran metal antarabangsa dan tampil di festival berprestij seperti Wacken Open Air.

Mereka turut menerima pengiktirafan Best New Band pada Metal Hammer Golden Gods Awards 2018, sekali gus mengukuhkan kedudukan sebagai antara kumpulan metal wanita yang menyerlah dari Jepun.
Tahun ini menyaksikan Lovebites meneruskan momentum menerusi siri persembahan antarabangsa, termasuk penampilan di Nippon Budokan, pentas ikonik yang menjadi antara impian besar penggiat muzik Jepun.
Selepas menjelajah Eropah, United Kingdom dan Jepun, kumpulan itu kini membawa tenaga sama ke Asia Tenggara.
Kuala Lumpur dijangka menjadi pentas yang cukup istimewa memandangkan ia menjadi lokasi pertama Lovebites bertemu peminat Malaysia secara langsung.
Lebih menarik, suasana Zepp KL yang lebih dekat dengan penonton dijangka membolehkan peminat merasai setiap dentuman dram, deruan bass serta permainan gitar Midori dan Miyako dengan lebih jelas.
Bagi penggemar metal, peluang menyaksikan Lovebites secara langsung pastinya memberikan pengalaman berbeza berbanding sekadar menonton persembahan mereka di platform digital.
Dengan gabungan vokal bertenaga, permainan gitar berkelajuan tinggi dan bunyi metal yang cukup agresif, Lovebites dijangka tampil tanpa kompromi apabila mengambil pentas di Kuala Lumpur.
Bagi mereka yang ingin turut serta, tiket boleh didapati menerusi www.myticketempire.com/lovebiteskl.



