Berita

Ayu Damit Dikejarkan Ke Hospital 3 Pagi

Penyanyi, Ayu Damit, 37, berdepan detik mencemaskan apabila mengalami sesak nafas secara tiba-tiba sekitar jam 3 pagi Selasa sebelum dikejarkan ke hospital untuk menjalani pemeriksaan lanjut.

Menurut Ayu, keadaan itu pada awalnya cuba ditenangkan oleh suaminya yang menyapu minyak pada bahagian dadanya sebelum dia kembali tidur.

Namun, keadaan kesihatannya kembali tidak selesa beberapa jam kemudian apabila dia terjaga akibat rasa loya dan muntah.

“Pukul 3 pagi saya sesak nafas. Suami saya letak minyak, kemudian saya tidur balik. Lepas itu lebih kurang pukul 6 pagi saya terjaga semula sebab rasa loya dan muntah. Pukul 3 tadi pun saya muntah, kemudian pukul 6 saya muntah lagi,” katanya.

Bimbang melihat keadaan Ayu, suaminya kemudian membawa penyanyi berkenaan ke Pantai Hospital Cheras untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan awal, doktor mengesahkan Ayu mempunyai batu dalam hempedu yang dipercayai antara punca sakit perut yang dialaminya.

Dalam masa sama, Ayu turut mempunyai sejarah fibroid yang sebelum ini menyebabkan dia kerap mengalami sakit pada bahagian perut.

“Doktor sahkan ada batu dalam hempedu. Saya memang ada fibroid sebelum ini dan fibroid itu pun memberi kesan kepada sakit perut saya.

“Cuma untuk sesak nafas itu, doktor masih dalam pemeriksaan. Mereka akan beritahu kemudian apa sebenarnya yang menyebabkan saya sesak nafas,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Ayu berkata doktor masih menjalankan beberapa pemeriksaan bagi mengenal pasti punca sebenar masalah sesak nafas yang dialaminya.

Justeru, penyanyi yang juga juara program realiti One In A Million (OIAM) musim kedua itu meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang andaian mengenai keadaan kesihatannya sehingga pemeriksaan doktor selesai.

Buat masa ini, Ayu masih menjalani pemeriksaan dan menerima rawatan di hospital selain berharap keadaan kesihatannya kembali stabil.

Related Articles

Back to top button