Berita

“Saya Tak Nak Orang Panggil Saya Ustaz”

Popular dengan karya berunsur kerohanian, penyanyi Hafiz Hamidun, 42, mengakui kurang selesa apabila ada pihak melabelkan dirinya sebagai ustaz atau pendakwah.

Hafiz, berkata, gelaran tersebut bukan sahaja membawa tanggungjawab besar, malah membuatkan dirinya lebih berhati-hati dalam setiap tindakan kerana tidak mahu sebarang perkara yang dilakukannya menjejaskan pandangan masyarakat terhadap agama.

“Sejujurnya saya tak nak orang panggil saya gelaran yang berat. Contohnya ustaz, saya bukan ustaz atau pendakwah.

“Saya tahu benda ini datang dengan bebanan yang sangat berat sebabnya kalau kita pun sedia maklumkan banyak saja kes-kes yang melibatkan personaliti islamik.

“Kalau boleh orang nak cakap apa pun, biarlah mereka tapi saya kena pastikan apa saya buat akhirnya menyebabkan agama kita tak dipandang saya tak nak begitu,” katanya.

Menurut Hafiz dia sentiasa cuba menjaga batas dalam pergaulan dan mengelakkan perkara yang boleh mencetuskan salah faham atau kontroversi, terutama kerana dirinya sering dikaitkan dengan imej Islamik.

“Kita tak nak istilah menunggang. Susah sebenarnya kerja apa pun semua bidang, cuma dalam bidang islamik lagi susah.

“Kita ada banyak had, banyak benda perlu jaga batas pergaulan kita. Tapi pada saya kena menjadi realistik.

“Saya kawan dengan semua orang sebab kita nak bekerjasama dan faham matlamat kita. Tapi saya cubalah elakkan benda yang boleh menyebabkan kontroversi.

“Saya bekerja dalam bidang muzik, tetapi saya cuba pastikan kalau tak dapat banyak pun, sedikit pun ada orang yang mendapat kesan daripada apa yang saya buat. Itu yang saya mahukan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hafiz turut menjelaskan keputusan untuk tidak mengenakan kopiah sebagai sebahagian daripada penampilannya adalah sesuatu yang dilakukan secara sedar.

Katanya, dia mahu keluar daripada stereotaip yang sering mengaitkan penyanyi nasyid atau karya berunsur Islamik dengan imej tertentu.

“Imej pakai kopiah pun saya sebenarnya tak nak pun. Ada pula mak cik-mak cik kata kenapa tak pakai kopiah. Ada yang marah, naayid kena pakai kopiah.

“Tapi saya kata tak semestinya macam itu saya cuba nak keluar daripada stereotaip,” luahnya.

Related Articles

Back to top button