Disyaki Ada Bahan Larangan, HSA Singapura Arah Henti Jualan Krim Medicube

Health Sciences Authority (HSA) Singapura menyedari laporan terkini mengenai produk Medicube PDRN Pink Collagen Capsule Cream dan telah bekerjasama dengan tiga syarikat yang memasarkan produk tersebut untuk menghentikan penjualannya serta menjalankan penarikan balik produk.
Produk berkenaan disyaki mengandungi bahan terlarang, iaitu Sudan Red.
Sudan Red ialah sejenis pewarna yang dilaporkan boleh mendatangkan risiko kepada kesihatan kerana berpotensi menyebabkan kanser serta mempunyai sifat alergen.
Pada 24 Julai lalu, Jabatan Kastam Hong Kong memberi amaran kepada orang ramai mengenai krim Medicube tersebut dan menggesa penjual mengeluarkannya dari rak, selain meminta pengguna menghentikan penggunaan produk berkenaan.
Memetik Mothership, HSA berkata pihaknya menyedari laporan terkini berkaitan Medicube PDRN Pink Collagen Capsule Cream.
Agensi itu berkata, mereka telah bekerjasama dengan tiga syarikat yang memasarkan produk tersebut untuk menjalankan penarikan balik serta menggantung penjualannya.
HSA turut melancarkan siasatan dan akan menjalankan ujian terhadap produk berkenaan. Tindakan kawal selia yang sewajarnya akan diambil sekiranya terdapat kebimbangan terhadap keselamatan produk.
Sementara itu, HSA menasihatkan pengguna yang telah membeli produk tersebut supaya berhenti menggunakannya sebagai langkah berjaga-jaga.
Agensi itu turut menjelaskan bahawa pewarna Sudan Red merupakan bahan terlarang di bawah Health Products (Cosmetic Products – ASEAN Cosmetic Directive) Regulations 2007.
Oleh itu, bahan tersebut tidak dibenarkan digunakan dalam produk kosmetik yang dijual di Singapura.
Mana-mana pihak yang didapati membekalkan produk sedemikian boleh dikenakan denda sehingga 50,000 dolar (RM159,093) dan atau hukuman penjara sehingga dua tahun.
Semakan Mothership pada 20 Ogos mendapati produk berkenaan masih disenaraikan untuk dijual di platform dalam talian seperti iHerb, Shopee dan Lazada.
Laman web berkenaan menunjukkan produk tersebut masih mempunyai stok dan boleh dihantar menjelang akhir Ogos 2026.
HSA berkata produk kosmetik dikawal selia di bawah Health Products (Cosmetic Products – ASEAN Cosmetic Directive) Regulations 2007.
Di bawah peraturan tersebut, peniaga perlu memaklumkan kepada HSA sebelum mana-mana produk kosmetik boleh dipasarkan.
Notifikasi tersebut membolehkan HSA mengambil tindakan susulan sekiranya timbul isu keselamatan.
Bagaimanapun, HSA menegaskan bahawa notifikasi produk bukanlah satu bentuk kelulusan prapasaran dan tidak boleh dianggap sebagai pensijilan atau pendaftaran produk oleh HSA.
Peniaga produk kosmetik bertanggungjawab memastikan produk mereka mematuhi semua keperluan kawal selia.
Ini termasuk larangan dan sekatan terhadap penggunaan bahan tertentu, pelaporan kesan buruk yang serius kepada HSA serta pematuhan terhadap keperluan pelabelan produk
Sumber: Mothership



