4 Mayat Ditemui Dalam 3 Hari, Pegawai Polis Jeju Disiasat Atas Dakwaan Salah Urus Kes Orang Hilang

Seorang anggota polis Korea Selatan yang dikaitkan dengan kontroversi selepas empat individu yang dilaporkan hilang di Jeju ditemui meninggal dunia dalam tempoh tiga hari telah berdepan dengan ahli keluarga mangsa di luar balai polis.
Rakaman video konfrontasi itu kini tular di media sosial.
Menurut Korea Times, anggota polis berkenaan telah ditahan pada Sabtu, 22 Ogos lalu selepas mayat seorang lelaki berusia lingkungan 60-an yang sebelum itu dilaporkan hilang ditemui pada hari sama.
Pegawai yang dikenali sebagai Sarjan Boo kemudian memohon mahkamah menyemak kesahihan penahanannya, menurut Korea JoongAng Daily.
Dia dibebaskan pada Isnin, 24 Ogos selepas mahkamah membenarkan permohonannya.
Bagaimanapun, selepas dibebaskan, Sarjan Boo didakwa berdepan dengan ahli keluarga individu yang terlibat dalam kes kehilangan tersebut.
Seorang individu kedengaran menjerit, “Hei, cakap sesuatu!”
Dalam rakaman itu, beberapa orang dilihat menyoal dan cuba menyentuhnya sebelum anggota polis di lokasi campur tangan.
Seorang individu yang pada mulanya ditahan oleh polis kemudiannya berjaya melepaskan diri dan mengejar kereta yang dinaiki Sarjan Boo.
Pegawai polis itu kemudian ditahan semula sehari selepas pembebasannya.
Pada 25 Ogos, mahkamah memerintahkan beliau ditahan atas syak wasangka cuai menjalankan tugas, memalsukan rekod elektronik rasmi dan menghalang tugas rasmi, lapor Yonhap News Agency seperti dipetik Reuters.
Sarjan Boo menafikan pertuduhan tersebut dan mendakwa beliau telah menghubungi individu-individu yang dilaporkan hilang, menurut laporan yang memetik seorang pegawai polis.
Jeju merupakan antara destinasi pelancongan paling popular di Korea Selatan. Menurut Persatuan Pelancongan Jeju, pulau itu menerima sekitar 1.2 juta pelancong asing dalam separuh pertama 2026.
Mayat kedua, seorang lelaki berusia lingkungan 70-an, ditemui pada 23 Ogos. Mayat ketiga dan keempat pula ditemui pada 24 Ogos.
Mayat keempat ialah seorang wanita berusia 37 tahun yang dilaporkan hilang sejak 104 hari sebelumnya. Sisa rangkanya dilaporkan ditemui dalam keadaan tergantung.
Keempat-empat kes penemuan mayat itu tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain.
Setakat ini, satu-satunya persamaan ialah dua daripada kes tersebut didakwa telah ditutup oleh pegawai polis sama tanpa pengesahan bahawa individu yang dilaporkan hilang berada dalam keadaan selamat.
Dakwaan itu mendorong pihak polis menyemak semula kesemua 298 laporan orang hilang yang pernah dikendalikan oleh Sarjan Boo.
Media Korea Selatan melaporkan sekitar 10 kes kini sedang diperiksa bagi menentukan sama ada ia ditutup secara tidak wajar.
Pemangku Ketua Polis Negara Korea Selatan, Yoo Jae Seong, telah membuat permohonan maaf susulan kontroversi tersebut, lapor Reuters.
Sementara itu pada 26 Ogos lalu, Menteri Dalam Negeri dan Keselamatan Yun Ho Jung turut memohon maaf kepada keluarga mangsa serta orang ramai.
Yun bersama beberapa pegawai kanan polis berdiri dan tunduk sebagai tanda memohon maaf, selain berjanji mengambil langkah menyeluruh bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.
Sumber: Mothership



