Pilih Khidmat Sukarela Untuk Kerajaan Korea, J.Y. Park Tolak Gaji & Kereta Rasmi

Penyanyi dan penerbit terkenal J.Y. Park menjadi perhatian selepas didedahkan memegang jawatan bertaraf menteri dalam kerajaan Korea Selatan secara sukarela tanpa menerima sebarang gaji.
Menerusi rancangan terbaharu di MBC TV, dia dilihat menjalankan tugas sebagai Pengerusi Bersama Jawatankuasa Presiden bagi Pertukaran Budaya Pop.
J.Y. Park menjelaskan yang dia memilih untuk memegang jawatan itu secara sambilan supaya tidak menerima gaji kerajaan mahupun kemudahan seperti kereta rasmi.
Dia dilantik sebagai Pengerusi Bersama Jawatankuasa Presiden bagi Pertukaran Budaya Pop pada September tahun lalu bagi membantu mengembangkan industri budaya pop Korea ke peringkat global.
Menurutnya, dia menolak tawaran tersebut selama tiga bulan sebelum akhirnya bersetuju menerimanya.
Dia turut menegaskan bahawa dirinya tidak memihak kepada mana-mana ideologi politik.
“Saya bukan progresif dan bukan juga konservatif. Saya hanyalah J.Y. Park,” katanya.
Dalam mesyuarat jawatankuasa itu, J.Y. Park turut berkongsi visinya mengenai 2027 FANOMENON, sebuah festival budaya Korea berskala besar yang dijadual berlangsung pada Disember 2027.
Nama FANOMENON merupakan gabungan perkataan ‘Fan’ dan ‘Phenomenon’, dengan matlamat menjadikan acara tersebut sebagai festival muzik global yang lebih besar daripada Coachella di Amerika Syarikat (AS).
Ramai yang memuji usaha J.Y. Park kerana sanggup meluangkan masa secara sukarela untuk membantu memajukan industri budaya Korea, meskipun beliau sudah pun memiliki kekayaan yang besar.



