Viral

Isu Kematian Anjing Rocky, Kilafairy Mohon Maaf Guna Kata-Kata Kesat

Pelakon, Kilafairy, 34, tampil memohon maaf secara terbuka selepas mengakui penggunaan bahasa kasar dalam hantaran di Threads berhubung isu seekor anjing bernama Rocky baru-baru ini telah menyinggung perasaan segelintir pihak.

Pemilik nama sebenar Syakila Nisa Jahangir Khan, berkata, selepas memikirkan semula perkara tersebut, dia menyedari pemilihan kata-kata yang digunakan sebelum ini kurang sesuai dan terlalu keras.

“Pertama sekali, saya ingin memohon maaf atas pemilihan kata-kata yang gunakan di Threads beberapa hari lepas. Bila saya fikirkan semula, kata-kata itu memang sangat kasar.

“Maaf semua. saya juga hanya seorang manusia, tidak sempurna, dan masih belajar untuk menjadi insan yang lebih baik setiap hari,” tulisnya di Threads.

Dalam perkongsian sama, Kila turut menghargai individu yang menegurnya secara baik, khususnya mereka yang memilih untuk memberikan nasihat secara peribadi tanpa mengeruhkan keadaan.

“Terima kasih juga kepada semua yang menegur dan menasihati Kila secara peribadi dan tertutup. Kila amat menghargainya,” tulisnya lagi.

Mengulas lanjut mengenai hantaran yang mencetuskan perhatian itu, Kila berkata dia kini sudah mendapatkan penjelasan daripada kedua-dua pihak berhubung isu berkenaan.

Susulan itu, dia berharap sebarang perbezaan pandangan atau pertikaian dapat diselesaikan dengan adil dan tenang tanpa membawa kepada perbalahan antara mana-mana pihak.

“Pada akhirnya, apa yang saya harapkan ialah apabila berlakunya kes seperti ini, semua pihak dapat mengendalikan situasi dengan adil dan aman.

“Semoga kita semua berusaha untuk membina dunia yang lebih baik, yang lebih berbelas ihsan dan adil kepada semua ciptaan Allah di muka bumi ini, sama ada manusia mahupun haiwan. Semoga kasih sayang sentiasa mengatasi kebencian,” ujarnya.

Related Articles

Back to top button