“Rindu Adik-Beradik Saya, Semoga Zero Bersatu Semula”

Pelawak, Sharif Zero, 36, mengakui masih menyimpan harapan untuk kembali berkongsi pentas bersama dua adiknya, Syaiful dan Atu, selepas ketiga-tiga mereka kini sibuk dengan komitmen kerjaya masing-masing.
Pemilik nama sebenar Sharif Kadir Dol Sharif berkata, biarpun sudah lama membawa haluan sendiri, rasa rindu terhadap adik-beradiknya tetap ada dan dia berharap mereka dapat dipertemukan semula sebagai kumpulan Zero suatu hari nanti.
Menurutnya, buat masa ini dia hanya mampu menitipkan doa selain mengharapkan sokongan peminat agar impian tersebut menjadi kenyataan.
“Apa yang saya harapkan adalah doa daripada semua peminat. Semoga ada sinar untuk kumpulan Zero bersatu semula dan doakan yang terbaik buat kami.
“Saya okey sahaja. Saya rindu adik-beradik saya. Itu paling penting. Saya rindu mereka, rindu hendak berkumpul.
“Buat masa ini saya hanya mampu berdoa semoga kami dapat bersatu kembali,” katanya.
Bagaimanapun, Sharif menjelaskan kumpulan Zero sebenarnya masih wujud dan tidak pernah dibubarkan, cuma peluang untuk mereka bertiga tampil bersama kini agak terbatas disebabkan komitmen serta lokasi masing-masing.
Katanya, Syaiful yang menetap di Sabah lebih banyak menerima tawaran kerja di negeri berkenaan, manakala dia pula perlu memberi perhatian kepada keluarga dan kerjaya di Semenanjung.
“Kumpulan Zero masih ada. Cuma peluang untuk bersama agak kurang kerana mungkin tawaran program komedi di televisyen sekarang tidak sebanyak dahulu.
“Ada juga pihak mahu menjemput kami bertiga, tetapi masing-masing mempunyai komitmen sendiri. Syaiful pula menetap di Sabah dan kebanyakan tawarannya di sana.
“Banyak tawaran di Sabah, tetapi saya pula tidak dapat ke sana kerana anak masih bersekolah dan saya bekerja di sini. Jadi, agak sukar untuk kami bergabung kerana masing-masing mempunyai komitmen,” katanya.



