Badan Melecur & Serpihan Kaca Tembus Baju! Shukri Yahaya Tetap Teruskan Babak Aksi Filem Chelot

Pelakon, Shukri Yahaya, 38, tetap meneruskan penggambaran meskipun mengalami kecederaan dan melecur selepas terkena serpihan letupan ketika menjayakan salah satu babak aksi filem Chelot.
Shukri, berkata, dia memilih untuk menyelesaikan babak berkenaan terlebih dahulu kerana penggambarannya dilakukan secara one take dan membabitkan ramai pelakon serta kru produksi.
“Ketika terkena itu saya teruskan juga sebab babak itu dibuat secara one take. Kami sudah sampai separuh penggambaran dan membabitkan ramai orang, jadi saya teruskan sampai habis.
“Selepas pengarah sebut ‘cut’, semua orang tanya sama ada saya okay atau tidak. Saya cakap rasa macam tidak berapa okay dan minta mereka tengok bahagian belakang badan saya.
“Selepas itu saya terus dibawa ke hospital untuk pemeriksaan. Alhamdulillah, tidak ada kecederaan serius, cuma mengalami melecur di bahagian belakang badan,” katanya.
Menurut Shukri, dia sendiri tidak mengetahui punca sebenar kejadian berkenaan, namun mengesyaki mungkin berpunca daripada masalah ketepatan masa ketika kesan khas letupan (pyro) dilakukan.
“Saya berlari, tetapi mungkin ada masalah pada timing. Biasalah, kesilapan manusia. Saya tidak tahu sama ada silap saya atau pasukan pyro.
“Mungkin letupan berlaku lebih awal atau saya yang berlari terlalu laju ke hadapan. Jadi letupan itu terkena sedikit pada badan saya.
“Saya tidak pasti bahan yang digunakan, tetapi serpihan kaca masuk dan menembusi pakaian. Saya memakai baju kemeja serta sut, tetapi masih menyebabkan badan saya terkoyak. Alhamdulillah, tidak sampai perlu dijahit, cuma ada luka,” ujarnya.
Selepas menjalani pemeriksaan, Shukri kembali ke set apabila doktor mengesahkan kecederaan yang dialaminya tidak serius.
“Saya sudah baik dan tiada masalah. Selepas pemeriksaan hospital dan semuanya disahkan okay, badan saya dibalut.
“Mereka tanya sama ada saya boleh teruskan atau tidak. Saya jawab, ‘okay, jom kita buat satu lagi take’,” katanya.
Bagi Shukri, insiden tersebut bukan sesuatu yang perlu diperbesarkan, namun menjadi peringatan kepada semua pihak agar lebih berhati-hati ketika menjayakan babak yang mempunyai risiko keselamatan.
“Saya tidak menganggap perkara itu sebagai masalah besar. Cuma selepas ini semua pihak perlu lebih berhati-hati.
“Saya sendiri akan bertanya dengan lebih terperinci. Bagaimana babak ini hendak dibuat? Bila hendak letupkan? Bila hendak baling?
“Sebenarnya selepas tiga hari latihan, semuanya sudah sempurna. Tetapi apabila masuk hari penggambaran, perkara itu berlaku,” katanya.
Dalam pada itu, Shukri mendedahkan semua babak aksi dalam filem berkenaan dilakukan sendiri tanpa bantuan pelagak ngeri.
Chelot mengisahkan pemburuan sindiket penyeludupan senjata dan merupakan hasil kerjasama Act 2 Pictures, Golden Screen Cinemas (GSC), Astro Shaw, SunStrong Entertainment, Marvelous Culture & Film serta Primeworks Studios (PWS).
Selain Shukri, Chelot turut menampilkan barisan pelakon seperti Beto Kusyairy, Shaheizy Sam, Nadhir Nasar, Alicia Amin, Azhan Rani dan Theebaan G.



