Dulu Bendahara Melaka, Kini Aqasha Jadi Hang Tuah

Pelakon dan penyanyi, Aqasha, 44, dipilih untuk menggalas watak Hang Tuah dalam pementasan Puteri Gunung Ledang (PGL) The Musical, sekali gus melengkapkan senarai barisan pelakon utama teater epik yang dinanti-nantikan ramai itu.
Pengumuman berkenaan dibuat menerusi hantaran rasmi pihak produksi di Instagram pada Ahad dan terus menjadi perhatian peminat seni persembahan tempatan.
Pemilihan Aqasha sebagai pendekar lagenda Melayu tersebut nyata mengundang keterujaan ramai, lebih-lebih lagi watak Hang Tuah dianggap antara karakter paling penting dan ikonik dalam keseluruhan pementasan.
Aqasha sebelum ini pernah terlibat dalam produksi berkenaan apabila pernah terlibat dalam PGLM kira-kira 20 tahun lalu menerusi watak Bendahara Melaka.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata peminat meluahkan rasa teruja selain menganggap Aqasha memiliki aura tersendiri untuk membawakan watak pahlawan terkenal itu.
Malah, ramai juga mengakui tidak sabar untuk menyaksikan penampilan aktor tersebut di atas pentas selepas pengumuman rasmi dibuat.
Sebelum ini, pihak produksi turut mengumumkan penyanyi Aisha Retno dan Mila Mohsin sebagai pelakon yang bakal membawakan watak Puteri Gunung Ledang.
Selain itu, Mimi Fly bersama Nadiah Aqilah pula dipilih untuk memegang karakter Bayan.
Sementara itu, Luqman Hafidz akan membawa watak Sultan Melaka manakala Yusuf Hashim memegang karakter Gusti Adipati.



