Berita

Anak Puchong Ini Satu-Satunya Calon Tempatan Diterima Masuk Harvard

Seorang remaja berusia 18 tahun telah mengharumkan nama Malaysia selepas menjadi satu-satunya calon tempatan yang berjaya diterima masuk ke antara institusi pendidikan paling berprestij di dunia.

Khow Jin Xen bersama dua lagi calon lain disenarai pendek, namun akhirnya muncul sebagai satu-satunya rakyat Malaysia yang berjaya memperoleh tempat di Harvard University.

Menurut laporan The Star, Khow berkata, dia pada mulanya tidak merancang untuk memohon ke Harvard, namun akhirnya mencuba nasib kerana reputasi universiti tersebut.

Tambahnya lagi, dia juga tidak mempunyai rekod aktiviti kokurikulum yang terlalu luar biasa sehingga mampu menarik perhatian pegawai kemasukan universiti.

“Saya cuma suka meneroka dan mengenal pasti isu-isu di Malaysia, mencari apa yang benar-benar saya minati dan apa yang saya mahu selesaikan.

“Walaupun proses kemasukan ini membuatkan saya rasa ia berdasarkan merit, tetapi secara statistik semuanya juga bergantung kepada tuah,” katanya.

Khow mengakui terkejut apabila melihat animasi konfeti muncul pada ruangan ‘check status’ di portal permohonan Harvard yang menandakan permohonannya berjaya diterima.

Selain Harvard, anak kelahiran Puchong, Kuala Lumpur itu turut menerima tawaran daripada Yale University, Princeton University, Stanford University, University of California, Berkeley, Imperial College London dan University of Bath.

Khow yang bakal berangkat ke Harvard pada Ogos ini akan mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Sastera dan bercadang mengambil jurusan fizik serta ekonomi.

Menurutnya, dia berharap dapat membawa pulang ilmu yang dipelajari di universiti Ivy League itu untuk dimanfaatkan di Malaysia.

“Saya berharap dapat terus meneroka isu global semasa dari pelbagai perspektif dan keluasan bidang di Harvard membolehkan saya mengikuti pelbagai kursus mendalam bersama profesor bertaraf dunia.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya teruja dengan peluang untuk menyumbang kepada penyelidikan global yang besar dan membawa pulang pengetahuan itu bagi menyelesaikan isu tempatan,” katanya lagi.

Related Articles

Back to top button