“Tidak Perlu Mendakwa Saya Scammer”

Pelakon, Norish Karman, 52, tampil menjelaskan isu membabitkan bantuan RM200,000 yang diterimanya daripada usahawan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri selepas timbul dakwaan segelintir pihak yang melabel dirinya sebagai ‘scammer’.
Norish berkata tuduhan tersebut sangat berat kerana wang yang diterima itu digunakan untuk keperluan keluarga termasuk melunaskan hutang lama serta merancang masa depan anak-anaknya.
Menurutnya, sebahagian daripada bantuan berkenaan digunakan untuk membayar semula individu yang pernah menghulurkan bantuan ketika dirinya berada dalam kesusahan sebelum ini.
“Sebahagian daripada RM200,000 itu saya gunakan untuk membayar hutang kepada sahabat yang pernah membantu kami sebelum ini.
“Kepada sesiapa yang rasa mahu tuntut hutang, boleh sahaja hantar mesej peribadi kepada saya. Tidak perlu memburukkan saya di Facebook atau bergandingan dengan blogger dan mendakwa saya scammer.
“Kalau saya scammer, saya tidak akan tampil begini. Saya hanya seorang ibu tunggal yang sedang berjuang demi anak-anak,” katanya dalam sebuah podcast.
Dalam masa sama, Norush turut berkongsi hasrat untuk menggunakan sebahagian wang diterima bagi memulakan perniagaan makanan dan minuman (F&B) sebagai sumber pendapatan jangka panjang.
Katanya, bidang tersebut sememangnya antara minatnya sejak dahulu dan dia berharap dapat membuka warung atau kedai makan kecil pada masa akan datang.
“Saya memang minat bidang F&B dan bercadang membuka warung atau kedai kecil untuk berniaga.
“Ramai juga bertanya bila saya mahu buka kedai sendiri, jadi mungkin itu antara perancangan saya. Tetapi bukan keseluruhan wang itu digunakan untuk tujuan tersebut,” ujarnya.
Selain itu, Norish turut memikirkan soal masa depan anak-anak apabila merancang menyediakan perlindungan insurans dan simpanan jangka panjang untuk mereka.
“RM200,000 bukan jumlah yang besar pada zaman sekarang, tetapi kalau diurus dengan baik, ia boleh membantu masa depan keluarga saya.
“Mungkin saya akan pastikan ada simpanan untuk tahun-tahun mendatang selain menyediakan insurans untuk anak-anak,” katanya lagi.
Terdahulu, tular dakwaan mendakwa Norish mahu menggunakan wang bantuan tersebut untuk membeli sebuah kereta mewah.
Bagaimanapun, dakwaan itu dinafikan sendiri oleh Norish dan Aliff Syukri yang menjelaskan bantuan berkenaan diberikan bagi membantu pelakon tersebut meneruskan kehidupan bersama keluarganya.



