Pereka Judassime Tegaskan Jisoo Tidak Pernah Curi Pakaian

Jisoo secara rasmi ‘dibersihkan’ daripada sebarang salah laku selepas satu penjelasan terbuka dikeluarkan oleh pereka fesyen Benjamin Voortmans, pengasas label fesyen bebas Judassime.
Dalam kenyataan panjang yang dikongsikan menerusi platform media sosial, Voortmans secara jelas menyatakan Jisoo mahupun syarikat pengurusannya, Blissoo, tidak bertanggungjawab secara peribadi terhadap pengendalian atau penyimpanan pakaian yang menjadi pertikaian.
Selain itu, dia mengakui bahawa kenyataan awalnya sebelum ini telah menimbulkan gambaran yang mengelirukan mengenai situasi tersebut.
Pertikaian bermula apabila Voortmans mendakwa secara terbuka pakaian yang dipinjam daripada jenamanya tidak dipulangkan selepas satu sesi penggambaran yang dirancang tidak lama dahulu.
Projek tersebut memerlukan pakaian itu dihantar ke Paris pada Disember 2025 sebagai persediaan untuk penggambaran di South Korea yang melibatkan Jisoo.
Menurut Voortmans, sesi penggambaran itu ditangguhkan beberapa kali dalam tempoh beberapa bulan berikutnya, menyebabkan lokasi pakaian tersebut tidak diketahui dan tiada komunikasi jelas diberikan oleh pasukan yang terlibat.
Usahanya untuk menyelesaikan perkara itu melalui saluran kontrak dan undang-undang juga dikatakan tidak mendapat respons.
Keputusannya untuk menyebut nama Jisoo secara terbuka kemudian menarik perhatian ramai di internet dan mencetuskan kritikan meluas serta komen negatif terhadap penyanyi tersebut.
Dalam penjelasan rasminya, Voortmans menegaskan Jisoo tidak mempunyai sebarang tanggungjawab secara langsung dalam isu itu. Katanya, Jisoo dan syarikat milik penyanyi itu Blissoo tidak pernah mencuri, mengendalikan, menghantar atau menyimpan pakaian berkenaan secara peribadi, selain menegaskan bahawa beliau tidak pernah berniat menuduh artis itu secara langsung.
Menurutnya, invois yang dikeluarkan kepada pasukan terbabit bersifat bersyarat, iaitu hanya akan dianggap tertunggak sekiranya pakaian tersebut tidak dipulangkan. Voortmans mengesahkan dia kini telah menerima jaminan daripada pihak berkaitan yang semua pakaian itu akan dipulangkan sepenuhnya.
Voortmans turut mengambil kesempatan untuk menjelaskan kesan situasi tersebut terhadap kerjaya dan perniagaannya. Sebagai pengasas tunggal label fesyen bebas, dia memberitahu yang pakaian itu mempunyai nilai emosi dan kewangan yang besar, selain menyatakan tempoh ketidakpastian yang panjang serta kekurangan komunikasi telah memberi kesan kepada operasi dan masa depan jenamanya.
Begitupun, dia menegaskan masalah sebenar berpunca daripada proses pentadbiran dan komunikasi projek tersebut, bukannya daripada artis itu sendiri.
Sebelum mengeluarkan kenyataan bertulis, Voortmans turut memuat naik satu video penjelasan menyatakan tindakannya menyebut nama Jisoo bukan bertujuan menyalahkan artis tersebut, sebaliknya untuk mendapatkan respons daripada pasukan penata gaya projek itu selepas gagal menghubungi mereka melalui cara lain.
Dalam video sama, dia turut meminta orang ramai supaya tidak meninggalkan komen berunsur kebencian atau serangan terhadap Jisoo, sambil mengakui bahawa kenyataan awalnya secara tidak sengaja telah menyumbang kepada kecaman yang diterima penyanyi itu.
Isu tersebut kini dilihat semakin menuju penyelesaian selepas pengesahan bahawa pakaian berkenaan akan dipulangkan.
Setakat artikel ini ditulis, Jisoo mahupun wakil daripada Blissoo masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi.



