Viral

Shiha Zikir Mohon Bantuan Orang Ramai Cari Staf ‘Hilang’

Penyanyi, Shiha Zikir, 39, memohon bantuan orang ramai bagi mengesan seorang wanita dikenali sebagai Nadia Nabila Zainudden berhubung beberapa isu yang masih belum diselesaikan melibatkan syarikatnya, Shiha Zikir Empire.

Pemilik nama sebenar Nurshiha Mohd Zikir, memaklumkan individu berkenaan gagal dikesan dan tidak hadir ke pejabat seperti sepatutnya, walaupun status pekerjaannya masih belum ditamatkan secara rasmi.

“Sesiapa mengenali beliau, Nadia Nabila Binti Zainudden mohon minta dia hubungi pihak syarikat shihazikirempire dengan segera bagi menyelesaikan isu-isu yang masih belum selesai.

“Dan sepatutnya beliau perlu hadir ke pejabat memandangkan surat penamatan kerja masih belum dikeluarkan,” tulisnya dalam sebuah hantaran.

Menurut Shiha, situasi tersebut menimbulkan kesukaran kepada pihak syarikat, apatah lagi apabila wanita berkenaan didakwa tidak memberikan kerjasama yang sewajarnya dalam menyelesaikan beberapa perkara tertunggak.

Lebih membimbangkan, Shiha turut mendedahkan sebuah kenderaan milik syarikat yang digunakan individu itu bagi urusan peribadi telah terlibat dalam kemalangan, namun sehingga kini tiada sebarang penyelesaian berkaitan tuntutan ganti rugi dibuat.

“Shiha ‘risau’ dengan keadaan beliau memandangkan dia sangat tidak memberi kerjasama yang baik tambahan kereta syarikat yang digunakan sehingga eksiden atas tujuan peribadi masih belum diselesaikan ganti rugi kepada pihak syarikat,” katanya lagi.

Tambah Shiha, pihaknya sebelum ini telah berusaha menggunakan pendekatan baik bagi menyelesaikan perkara tersebut secara harmoni, namun usaha berkenaan tidak mendapat maklum balas sewajarnya.

“Pihak syarikat juga sudah sedaya upaya memberi peluang untuk selesaikan masalah secara baik namun tidak diberi kerjasama yang sepatutnya. Mohon info secepat mungkin & bantu repost (kongsi),” ujarnya.

Related Articles

Back to top button