‘Edry Banyak Tekan Soal Feel & Attitude’- Syamel

Penyanyi, Syamel, kembali mewarnai industri muzik tempatan dengan single terbaharu berjudul Pertama, hasil ciptaan dan terbitan Edry Abdul Halim.
Karya ini menandakan fasa baharu dalam perjalanan seni Syamel, dengan menampilkan pendekatan muzik yang lebih groovy, moden dan sarat identiti tersendiri.
Berbeza daripada karya terdahulu yang sinonim dengan balada emosional, Pertama memperlihatkan sisi lebih santai, berani dan penuh karakter.
Lagu ini mengangkat tema cinta pandang pertama, namun dengan tafsiran lebih luas. Ia bukan hanya berkisar tentang perasaan terhadap seseorang, tetapi juga keterujaan spontan apabila pertama kali melihat sesuatu yang memikat hati sesiapa sahaja.
Menurut Syamel, lagu ini meraikan detik-detik spontan yang sukar dijelaskan tetapi mampu menghadirkan kebahagiaan dan harapan.
“Kadang-kadang bila kita tengok sesuatu, terus ada satu perasaan yang susah nak diterangkan, tapi kita terus jatuh hati. Itulah rasa yang saya cuba sampaikan dalam lagu ini,” katanya.
Dari segi visual, video muzik rasmi Pertama tampil dengan konsep sinematik yang unik.

Digambarkan dengan visual mengisahkan pertemuan singkat antara dua individu asing yang berkembang menjadi kisah cinta indah, sebelum penonton menyedari bahawa semuanya hanyalah imaginasi yang tercipta dalam sekelip mata.
Pendekatan ini menggambarkan bagaimana satu detik singkat boleh terasa begitu besar apabila perasaan hadir dengan kuat, sekali gus menyerlahkan elemen manis, lucu dan penuh fantasi tentang cinta pandang pertama.
Video muzik tersebut turut menampilkan kolaborasi bersama pempengaruh tempatan, Aya Amiruddin dan Sharmaine Alexander, yang membawa elemen segar serta karisma tersendiri dalam penceritaan visual.
Kerjasama Syamel bersama Edry Abdul Halim juga memberi dimensi baharu terhadap persembahan vokalnya. Menurut Syamel, Edry banyak menekankan aspek feel dan sikap dalam nyanyian bagi memastikan lagu ini tampil dengan energi berbeza.
“Edry banyak tekankan soal feel dan attitude untuk lagu ini. Dia mahu saya tampil dengan energi berbeza, dan itu yang menjadikan Pertama sangat menarik untuk diterokai,” jelasnya.
Lebih bermakna, lagu ini turut didedikasikan khas buat para peminat setia yang sentiasa menyokongnya sejak awal pembabitan dalam industri.
“Mereka yang nampak saya sebelum orang lain nampak. Jadi lagu ini saya tujukan buat mereka yang pertama dalam hati saya,” katanya lagi.
Single ini juga menjadi simbolik kepada permulaan baharu dalam evolusi seni Syamel, yang bakal disusuli dengan pelbagai karya dan kejutan pada masa akan datang.



