G-Dragon Dikecam Isu Pakaian, Agensi Tampil Mohon Maaf

Rapper popular, G-Dragon menerima kecaman hebat selepas mengenakan pakaian pentas yang mengandungi perkataan berunsur sensitif ketika menjayakan persembahan di acara K-Spark yang berlangsung di Macau Outdoor Performance Venue, Macau.
Ketika menjayakan persembahan, dia dilihat menyarung pakaian dalaman panjang yang menutupi bahagian paha, digabungkan dengan jaket pendek.
Namun, perhatian tertumpu kepada tulisan pada kemeja-t yang dipakainya. Kemeja-t tersebut memaparkan frasa ‘Ronny, Een Geile Neger__ Jongen.’
Perkataan ‘Een Geile’ dalam bahasa Belanda boleh membawa maksud tidak sesuai bergantung kepada konteks, manakala istilah ‘Neger’ pula dianggap sebagai istilah yang bersifat perkauman dan menghina, serta tidak lagi digunakan dalam konteks formal mahupun harian.

Sebagai respon, agensinya Galaxy Corporation mengeluarkan kenyataan rasmi susulan kontroversi berkenaan.
“Kami dengan tulus ikhlas memohon maaf atas penggunaan perkataan pada pakaian pentas artis yang tidak sesuai dari segi sosial dan budaya.
“Kami akan meneliti dan menambah baik prosedur dalaman kami, termasuk semakan gaya, bagi memastikan standard yang lebih teliti pada masa akan datang,” ujar kenyataan tersebut.
Agensi menutup kenyataan dengan menegaskan komitmen untuk menghormati kepelbagaian latar belakang dan nilai peminat global, sekali lagi memohon maaf atas kebimbangan serta kekecewaan yang timbul.



