Cawan Meletup Sebelum Jumpa Datuk, Lelaki Ini Dapat Seluar Baru & Diskaun 100 Peratus

Bertemu individu VIP sememangnya boleh membuatkan seseorang gementar, tetapi bayangkan jika sesuatu yang tidak dijangka berlaku sebelum pertemuan itu berlaku.
Itulah yang dialami seorang lelaki apabila temu janji makan tengah harinya di Mid Valley Megamall bertukar menjadi insiden tidak dijangka selepas minumannya tiba-tiba ‘meletup’.
Dalam satu hantaran tular di Threads oleh pengguna @shafiqshahar, lelaki dikenali sebagai Shafiq itu berkongsi bagaimana dia dijemput oleh seorang yang bergelar Datuk untuk sesi makan tengah hari di Oriental Kopi.
Selepas tiba di restoran tersebut dan menunggu di meja, dia memesan minuman ringkas iaitu air mineral sementara menunggu VIP berkenaan tiba.
“Sementara tunggu Datuk datang, saya order air mineral. Pelayan terus hidangkan sekali dengan mug berisi ais, jadi saya pun tuang air ke dalam mug itu,” tulisnya.
Namun keadaan bertukar cemas apabila cawan tersebut tiba-tiba meletup sebaik sahaja dia mahu minum, menyebabkan air tertumpah ke seluruh seluarnya.
Terkejut dengan apa yang berlaku, Shafiq segera memanggil pelayan untuk bertanya tentang insiden itu.
“Saya tanya waiter, ‘Apa benda ni? Rancangan prank TV ke?’ Waiter pun nampak panik,” katanya.
Pada ketika itu, Datuk yang sepatutnya ditemuinya baru sahaja tiba dan menyaksikan kejadian tersebut sebelum membuat satu panggilan telefon kepada individu yang tidak dikenali Shafiq.
Tidak lama kemudian, seorang staff menghampirinya dan menawarkan untuk menggantikan seluar yang basah.
“Dalam lima minit macam tu, PIC (staff) datang dan cakap mereka nak belanja seluar baru. Saya rasa paiseh sebab cuma kena air mineral, tapi rezeki jangan ditolak,” kongsinya.
Dia kemudian dibawa oleh staf ke UNIQLO untuk memilih seluar baharu. Namun layanan baik itu tidak terhenti di situ.
Selain menerima seluar baharu, Shafiq juga tidak perlu membayar makanan kerana pihak restoran tersebut memberikan diskaun penuh 100 peratus. Malah, dia turut menerima hadiah percuma.
Teruja dengan cara situasi itu dikendalikan, Shafiq memuji layanan restoran berkenaan dan menyifatkannya antara servis terbaik yang pernah dialaminya.
“Service dan layanan memang tip-top. Harap lepas ni datang lagi pun boleh dapat diskaun 100 peratus,” katanya berseloroh.



