Berita

Datuk Red Mohon Maaf Kepada Adira

Usahawan Adnan Abu atau lebih dikenali sebagai Datuk Red tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada bekas isterinya, Adira Suhaimi susulan beberapa kenyataan yang pernah dimuat naik di media sosial sebelum ini.

Menerusi sebuah video yang dikongsikan di TikTok, Adnan mengakui dirinya terlanjur dalam mengeluarkan kata-kata dan berharap permohonan maaf itu dapat memperbaiki keadaan antara mereka.

“Saya ingin memohon maaf secara terbuka kepada bekas isteri saya, Siti Adira Suhaimi serta pihak peguamnya atas segala keterlanjuran kata-kata saya di media sosial sama ada secara langsung atau tidak langsung,” katanya.

Menurut Adnan lagi, dia benar-benar ikhlas memohon maaf selepas menyedari kesilapan yang dilakukan terhadap penyanyi tersebut.

Dalam masa sama, usahawan itu berharap kemelut yang berlaku antara mereka dapat dihentikan demi kebaikan bersama, terutama melibatkan anak-anak.

“Saya harap selepas ini tiada lagi perselisihan antara kita dan segala isu dapat diselesaikan secara baik.

“Kita boleh berbincang dengan matang mengenai cara terbaik untuk membesarkan serta menjaga anak-anak walaupun memilih haluan hidup masing-masing,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Adira pernah meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan bekas suaminya yang didakwa meletakkan syarat tertentu bagi menyelesaikan isu berkaitan kes rujuk mereka.

Penyanyi itu mendakwa Adnan meminta bayaran sebanyak RM100,000 selain mahu saman sivil berkaitan hutang digugurkan sebagai syarat untuk menamatkan kes berkenaan.

Bagaimanapun, Adnan menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan dia tidak pernah membuat tuntutan seperti diperkatakan.

Terdahulu, Adnan turut hadir memberikan sokongan kepada anak mereka, Anggrek ketika program Talk To My Manager 2 berlangsung kira-kira dua minggu lalu.

Malah, kehadirannya pada program itu juga dikatakan bertujuan untuk memohon maaf kepada Adira susulan kekecohan yang berlaku ketika prosiding pengesahan rujuk mereka di mahkamah baru-baru ini.

Related Articles

Back to top button