Pemandangan Kotor Kedai Mamak, Pelanggan Jijik Lihat Ayam Goreng Diletak Atas Tong Sampah

Walaupun kedai mamak merupakan antara lokasi lepak kegemaran rakyat Malaysia, namun malangnya premis sebegini sering dikaitkan dengan tahap kebersihan yang kurang memuaskan.
Seorang wanita menyaksikan sendiri perkara tersebut di sebuah kedai mamak popular di Kuala Lumpur sehingga dia berasa begitu jijik dan terus membuat aduan kepada pihak berkuasa kesihatan.
Menerusi satu hantaran di Threads, wanita tersebut memuat naik video yang memaparkan satu objek yang berada di atas tong sampah.
Apa yang mengejutkannya, objek itu bukanlah sampah atau barangan terbuang, sebaliknya sebuah dulang berisi ayam goreng.
Pemandangan tersebut secara serta merta membuatkan wanita itu hilang selera makan.
Dia turut mendedahkan bahawa kedai mamak itu terletak berhampiran Ibu Pejabat Polis Cheras dan Sunway Velocity Mall, Kuala Lumpur.
Netizen turut meluahkan rasa jijik di ruangan komen, malah ramai meminta Kementerian Kesihatan Malaysia mengambil tindakan tegas terhadap premis berkenaan.



