Safura Persoal Ketulusan Juri Menilai Persembahan Anak

Penyanyi, Safura, 53, meluahkan rasa kurang senang terhadap cara penjurian dalam program Talk To My Manager musim kedua (TTMM2) apabila mendakwa wujud unsur berat sebelah dalam kalangan juri yang terlalu terbuka menunjukkan kecenderungan terhadap peserta tertentu.
Menurut Safura, tindakan sesetengah juri yang tanpa segan silu menyatakan mereka ‘suka’ kepada peserta dianggap tidak wajar kerana boleh menjejaskan kredibiliti serta keadilan dalam pemberian markah.
“Bagi saya, sebagai juri profesional, tak sepatutnya ada kenyataan ‘saya suka awak’. Itu sudah boleh jadi bias. Kalau betul profesional, tak perlu pun cakap suka mana-mana peserta. Sebab suka, kita nak bagi markah tinggi? Sepatutnya nilai persembahan secara keseluruhan,” katanya.
Dalam masa sama, Safura turut menyuarakan rasa kurang puas hati terhadap juri tetap Datuk AC Mizal yang didakwanya kurang menyenangi persembahan anaknya, Kim Khairii, sehingga menggunakan kelebihan ‘mute the mic’ pada malam konsert minggu keempat.
“Saya nampak reaksi Datuk AC Mizal. Mungkin dia kurang suka cara anak saya bawa lagu itu. Tapi pada saya, tiada kesalahan besar pada nyanyian Kim, cuma mungkin lagu itu bukan jenis ‘sing along’.
“Kalau lagu ‘sing along’, siapa pun nyanyi, penonton tetap akan ikut sama. Bila ramai ikut nyanyi, persembahan nampak lebih meriah dan orang anggap itu terbaik,” jelasnya.
Mengulas sama ada tindakan ‘mute the mic’ itu memberi kesan kepada markah, Safura berpendapat ia tidak sepatutnya mempengaruhi keputusan penjurian kerana ia merupakan salah satu pilihan yang disediakan pihak produksi.
“Sepatutnya ia tidak ganggu pemarkahan sebab itu pilihan yang diberi kepada pengurus.
“Kalau ia memberi kesan kepada markah, itu tidak adil. Kenapa sediakan kelebihan itu kalau akhirnya menjejaskan keputusan?
“Sebagai juri, kena terima keputusan dengan hati terbuka. Ada sebab kenapa fungsi itu diwujudkan,” katanya lagi.
Sebagai pengurus kepada anaknya, Safura turut meluahkan rasa terkilan apabila merasakan persembahan Kim Khairii tidak mendapat penilaian setimpal walaupun menurutnya anaknya memberikan persembahan yang baik tanpa kesilapan teknikal ketara.
“Saya rasa apa yang saya cakap ini berdasarkan apa yang saya lihat. Kalau juri rasa tak bagus, itu pandangan mereka.
“Tapi bagi saya, persembahan Kim sangat baik. Kalau benar sumbang, barulah wajar diletakkan di kelompok tercorot.
“Saya rasa ada peserta lain yang lebih lemah dari segi nyanyian, tapi nampak lebih ‘wow’ di pentas,” ujarnya lagi.



