Klangit, Dina Rijue ‘Hidupkan’ Kau Bersama Dia

Kumpulan pop rock tempatan, Klangit kembali mencuri perhatian peminat muzik menerusi pelancaran single terbaharu berjudul Kau Bersama Dia, sebuah karya penuh emosi yang mengangkat tema cinta tidak kesampaian.
Rasa kehilangan dan keikhlasan dalam melepaskan insan tersayang digarap dengan baik menjadikan naskhah ini sebagai menarik perhatian sesiapa sahaja saat kali pertama mendengarkannya.
Tampil dengan melodi melankolik dan lirik yang dekat dengan realiti kehidupan, lagu ini membawa pendengar menyelami konflik perasaan apabila seseorang yang dicintai memilih untuk bersama orang lain.
Kau Bersama Dia bukan sekadar lagu patah hati, sebaliknya menjadi gambaran tentang kekuatan menerima kenyataan bahawa tidak semua cinta ditakdirkan untuk dimiliki.
Menurut Klangit, karya tersebut dihasilkan dengan pendekatan yang jujur dan bersifat peribadi, menjadikan mesej yang disampaikan lebih mudah dirasai oleh pendengar.
Proses pembikinannya bermula daripada idea melodi asas yang sarat emosi sebelum berkembang menjadi lirik yang ringkas tetapi mendalam. Susunan muzik pula disusun secara berlapis bagi menguatkan lagi nuansa melankolik yang menjadi identiti lagu ini.
Antara tarikan utama lagu ini ialah gandingan vokal Ary Klangit bersama penyanyi jemputan, Dina Rijeu.

Gabungan perspektif suara lelaki dan wanita memberikan dimensi penceritaan yang lebih menyeluruh, sekali gus memperkayakan pengalaman emosi dalam lagu tersebut.
Menariknya, Kau Bersama Dia diinspirasikan daripada pengalaman sebenar yang pernah dilalui anggota Klangit sendiri serta kisah individu di sekeliling mereka.
Elemen kejujuran itu menjadikan lagu ini lebih dekat dengan pendengar, terutama mereka yang pernah berdepan episod cinta tidak kesampaian.
Bagi melengkapkan penceritaan, muzik video rasmi turut dihasilkan dengan konsep visual sederhana namun sarat emosi. Tanpa bergantung kepada elemen berlebihan, video tersebut memberi fokus kepada ekspresi dan jalan cerita realistik yang menguatkan mesej lagu.
Kau Bersama Dia dijangka mampu menjadi peneman kepada mereka yang sedang melalui fasa kehilangan selain menjadi medium meluahkan perasaan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.
Dalam masa sama, Klangit turut merancang untuk terus aktif menghasilkan karya baharu, memperbanyakkan persembahan secara langsung serta memperluaskan pengaruh muzik mereka kepada peminat agar terus relevan dalam industri muzik tempatan.
Lagu Kau Bersama Dia sudah dilancarkan secara rasmi mulai 1 Mei lalu, manakala muzik video rasmi boleh ditonton menerusi saluran YouTube Nova Music Videos.



