Bapa Mati Dipanah Petir Demi Cari Wang Beli Uniform Sekolah Anak

Seorang lelaki berusia 45 tahun di Thailand yang bekerja di ladang tebu demi mencari wang untuk membeli uniform sekolah anak perempuannya maut selepas dipanah petir.
Insiden itu berlaku di wilayah Buriram di timur laut Thailand pada 7 Mei lalu lapor Khaosod Online.
Menurut laporan, seorang pegawai penyiasat polis menerima maklumat mengenai kejadian tersebut sekitar jam 2 petang sebelum bergegas ke lokasi bersama pasukan penyelamat dan petugas perubatan kecemasan.
Mangsa dikenali sebagai Sunthorn Kaenninthon ditemui dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri di bawah sebatang pokok ara di kawasan ladang tebu.
Mangsa dipercayai mengalami kesan lecur pada bahagian kepala akibat sambaran petir.
Petugas kecemasan segera melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) sebelum membawanya ke hospital, namun dia disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
Menurut Amarin TV, Sunthorn merupakan antara pekerja yang diupah untuk membersihkan semak di ladang tebu tersebut.
Dia dikatakan sangat memerlukan wang untuk membeli uniform sekolah anak perempuannya yang berusia sembilan tahun dan bakal memasuki darjah empat.
Selepas waktu makan tengah hari pada hari kejadian, Sunthorn dilihat menuju ke arah sebatang pokok untuk mengambil cangkulnya sebelum dipanah petir ketika mengambil alat tersebut.
Penduduk kampung memaklumkan bahawa Sunthorn telah menetap di kawasan itu selama kira-kira lapan tahun sebelum tragedi berlaku.
Isterinya pula menyifatkan suaminya sebagai seorang lelaki yang sangat rajin dan sanggup melakukan apa sahaja pekerjaan demi menyara keluarga, terutama untuk membayar keperluan persekolahan anak mereka.
Kini, dia mengakui tidak pasti bagaimana keluarganya mampu meneruskan kehidupan tanpa ketua keluarga yang menjadi sumber utama pendapatan.
Selepas mendapat tahu mengenai kematian Sunthorn, ketua daerah bersama presiden persatuan suri rumah daerah turut menziarahi isteri dan anak mangsa untuk menyampaikan ucapan takziah.
Mereka juga menyerahkan sumbangan peribadi sebanyak 5,000 baht (sekitar RM640) kepada keluarga tersebut.



