Lelaki Ini Bayar RM10.90 Untuk Sepinggan Nasi Putih & Taugeh

Seorang lelaki baru-baru ini tular selepas berkongsi bagaimana dia membayar sehingga RM10.90 untuk sepinggan nasi putih dan sayur taugeh.
Memetik WeirdKaya, lelaki yang dikenali sebagai Hamdzaini itu berkata, hal tersebut berlaku di luar jangkaannya, lebih-lebih lagi dia hanya mahu makan secara ringkas ketika sedang berdiet.
Menurut Hamdzaini, tiada tanda harga yang jelas dipaparkan di premis tersebut.
“Saya hanya tahu harga selepas ambil makanan dan pergi ke kaunter,” katanya.
Resit menunjukkan pecahan berikut:
Nasi putih (1): RM2.80
Nasi putih (½): RM1.50
Sayur (1 jenis, 1 senduk): RM6.60
Cukai perkhidmatan (6%): RM0.62
Jumlah keseluruhan adalah RM10.90, dengan taugeh sahaja berharga RM6.60.
Apabila ditanya sama ada hidangan itu berbaloi, Hamdzaini tidak berselindung.
“Ia tidak berbaloi kerana tidak setimpal dengan harga. Saya benar-benar terkejut apabila melihat jumlahnya kerana langsung tidak menjangkakan,” katanya.
Apa yang lebih mengejutkan, premis tersebut bukanlah restoran mewah tetapi hanya sebuah kedai makan biasa.
Berdasarkan pengalaman lalu, Hamdzaini berkata, dia biasanya hanya perlu membayar sekitar RM5 hingga RM6 untuk hidangan serupa.
“Saya sudah ambil protein pada waktu pagi, jadi saya pilih sesuatu yang ringan. Walaupun pengalaman ini, saya tetap teruskan diet kerana ada acara yang akan dihadiri,” katanya lagi.
Ditanya sama ada dia membuat aduan terhadap kedai tersebut, Hamdzaini berkata, dia hanya membayar dan beredar kerana ketika itu sedang lapar.
Susulan perkongsian tersebut, ramai netizen meluahkan rasa terkejut terhadap harga berkenaan, khususnya harga taugeh.
Ada yang menyatakan RM6.60 untuk satu senduk taugeh adalah terlalu mahal, dengan seorang pengguna komen bahawa taugeh biasanya jauh lebih murah di tempat lain.
Ada juga turut berkongsi pengalaman masing-masing, mendakwa mereka boleh mendapatkan portion serupa dengan harga kurang daripada RM1 di sesetengah tempat.
Terdapat juga reaksi santai, dengan ada yang berseloroh bahawa ‘makanan diet’ kini pun sudah tidak mampu milik, manakala yang lain berkata inilah sebabnya ramai mudah putus asa untuk berdiet.



