Viral

“Yang Kecam Harap Saya Pakai Jubah Ke?”

Pelakon, Nabila Huda, 42, menyelar segelintir pihak yang didakwa terlalu cepat menghakimi dan mencari kesalahan terhadap dirinya, khususnya berkaitan isu pemakaian ketika dia menjalankan siri jelajah jualan makanan.

Pemilik nama penuh Nabila Huda Suhaimi, berkata dia kecewa apabila usaha yang dilakukan dengan niat gembira dan ikhlas untuk bertemu peminat serta berkongsi hasil masakan sendiri akhirnya bertukar menjadi bahan kecaman di media sosial.

“Saya buat sebab gembira tengok orang datang sokong, makan dan borak. Yang peliknya kenapa ramai sangat nak cari salah? Pemakaian pun jadi isu. Yang kecam ini harap saya pakai jubah ke macam mana?

“Kalian nak apa sebenarnya? Kadang-kadang sedih bila benda yang dibuat dengan ikhlas dan gembira bertukar jadi bahan untuk orang kecam setiap perkara,” katanya menerusi satu hantaran.

Dalam masa sama, Nabila menegaskan dia lebih selesa untuk menjadi dirinya sendiri tanpa perlu berpura-pura semata-mata mahu memenuhi ekspektasi orang ramai atau meraih pujian di media sosial.

“Saya bukan hipokrit. Saya tak perlu ‘fake’ diri untuk nampak baik, sopan dan lemah-lembut semata-mata untuk orang suka dan puji. Kalau tak suka, jangan ambil tahu. Jangan ‘stalk’ lepas itu burukkan pula.

“Buanglah perasaan cemburu itu. Setiap orang ada rezeki masing-masing,” katanya lagi.

Mengulas mengenai siri jelajah jualan makanannya, Nabila menjelaskan itu dilakukan sekadar hobi dan sebagai platform untuk berjumpa peminat sambil berkongsi air tangannya dalam skala kecil.

“Ini sekadar sesuatu yang menyeronokkan. Saya nak jumpa penyokong dan beri mereka rasa masakan saya sendiri. Saya bukan buat restoran ‘fine dining’. Ini cuma ‘small pop up’, saya masak sendiri, memandu sendiri, dan tak sangka ramai yang sokong.

“Jujurnya bukan tujuan utama untuk buat duit pun. Setiap lokasi saya cuma sediakan sekitar 50 hidangan sahaja, sos pun 150 hingga 200 botol. Memang cepat habis sebab stok kecil dan ‘homemade’.

“Saya buat dengan tenaga sendiri. Kalau nak kira untung besar memang tidak- minyak, tol, hotel, bahan dapur dan sewa caravan empat hari pun dah cecah RM2,700,” kongsinya.

Sebelum ini, beberapa video tular memaparkan Nabila sedang memasak semasa siri jelajah jualan makanannya di Melaka, sekali gus mencetuskan perbincangan dalam kalangan netizen mengenai penampilannya ketika menyediakan makanan yang didakwa tidak mengikut prosedur kebersihan yang ditetapkan.

Related Articles

Back to top button