Amir Raja Lawak Tak Malu Jual Besi Buruk

Pelawak, Amir Raja Lawak, 37, membuktikan status sebagai figura dikenali ramai bukan penghalang untuk melakukan pelbagai kerja demi mencari rezeki, termasuk mengutip serta menjual barangan kitar semula.
Pemilik nama sebenar Mohammad Amirullah Azmi, berkata dia tidak pernah berasa malu melakukan pekerjaan tersebut selagi ia mampu menjana pendapatan yang halal.
“Cari duit tepi. Jual barang dekat besi buruk, Alhamdulillah dapat RM18,” tulisnya ringkas dalam sebuah hantaran.
Dalam masa sama, Amir turut meluahkan rasa kurang faham terhadap segelintir individu yang sering menghubunginya secara peribadi untuk meminta bantuan kewangan dengan alasan tidak mampu bekerja.
Menurut Amir lagi, masih banyak cara boleh dilakukan untuk mencari pendapatan walaupun berdepan kesukaran hidup.
“Yang selalu ‘inbox’ minta sumbangan beli susu anak sebab suami tak boleh kerja akibat motosikal rosak itu, tak cuba ke kutip tin, kotak atau cari besi untuk dijual? Jalan kaki pun boleh, bawa kereta sorong pun boleh.
“Takkan malu nak cari rezeki macam ini, tapi tak segan pula minta bantuan orang lain?” katanya lagi.
Amir bagaimanapun mengakui setiap individu mempunyai cabaran hidup berbeza, namun menegaskan usaha perlu didahulukan sebelum mengharapkan ihsan orang lain.
“Memang betul perjuangan hidup kita tak sama, tapi selagi ada kudrat, tak salah untuk berusaha. Saya yang orang kenal ini pun pernah jual air jagung tepi jalan,” luahnya.



