Ini Sebab Dua Lipa Saman Samsung

Penyanyi pop Dua Lipa dilaporkan telah memfailkan saman bernilai 15 juta dolar (RM58.8 juta) terhadap Samsung Electronics atas dakwaan penggunaan gambarnya tanpa kebenaran.
Menurut aduan yang dikemukakan di Mahkamah Daerah Amerika Syarikat (AS) bagi daerah tengah California pada 8 Mei lalu, pasukan guaman Dua Lipa mendakwa Samsung menggunakan gambar penyanyi itu pada pembungkusan produk televisyen tanpa izin, sekali gus melanggar hak cipta dan hak publisiti.
Gambar yang menjadi pertikaian itu dipercayai diambil di belakang pentas Austin City Limits Festival 2024 dengan Dua Lipa dikatakan memiliki hak cipta eksklusif terhadap foto berkenaan.
Peguam penyanyi tersebut turut berhujah penggunaan imej itu telah memberi gambaran mengelirukan seolah-olah Dua Lipa secara rasmi menyokong produk keluaran Samsung.
Malah, aduan tersebut turut menyertakan hantaran media sosial daripada pengguna yang didakwa berkata mereka membeli televisyen itu kerana pengaruh Dua Lipa.
Pihak Dua Lipa juga mendakwa mereka sudah meminta Samsung menghentikan penggunaan imej tersebut sejak Jun 2025, namun syarikat itu dikatakan mengabaikan permintaan berkenaan.
Pasukan guamannya turut menegaskan Dua Lipa sangat selektif dalam memilih kerjasama jenama dan sebelum ini hanya bekerjasama dengan jenama premium global seperti Puma dan Versace.
Mereka mendakwa penggunaan tanpa kebenaran itu telah menjejaskan nilai jenama dan imej awam penyanyi tersebut.
Menerusi saman itu, Dua Lipa dilaporkan menuntut ganti rugi sebanyak 15 juta dolar (RM58.8 juta) selain injunksi bagi menghalang Samsung daripada terus menggunakan imej berkenaan.



