Lakonan Nabila Huda Disindir Netizen & Dilabel ‘Biasa’? Puteri Aishah Tampil Pertahankan

Pelakon Puteri Aishah tampil mempertahankan kredibiliti lakonan Nabila Huda selepas seorang pengguna Threads mempersoalkan tahap kemampuan aktres berkenaan dalam dunia seni.
Individu tersebut mendakwa Nabila dilihat hanya ‘berlakon biasa’ dan seolah-olah membawa diri sendiri dalam kebanyakan watak yang dilakonkan.
Namun, Puteri Aishah tidak bersetuju dengan pandangan berkenaan dan menyifatkan Nabila sebagai seorang pelakon yang mempunyai bakat besar, khususnya apabila berada di atas pentas.
“Tidak, Nabila seorang yang sangat berbakat. Tak ramai orang boleh berlakon atas stage macam ini. Dia ada high stage presence dan tak semua orang ada,” katanya dalam sebuah hantatan.
Menurutnya lagi, kelebihan Nabila bukan hanya pada ekspresi emosi semata-mata, tetapi juga kemampuan untuk menghidupkan watak dengan begitu meyakinkan dalam setiap babak yang dibawa.
“Pernah satu frame dengan dia dan dia boleh gelak-gelak lepas itu ‘action’ boleh nangis just like that. Setiap dialog yang dia bagi, saya boleh ‘rasa’,” jelasnya.
Dalam masa sama, Puteri Aishah turut menasihatkan orang ramai agar tidak terlalu mudah menilai kemampuan seseorang pelakon, lebih-lebih lagi jika tidak mempunyai pengalaman dalam bidang lakonan.
“Jika tak pernah berlakon atas stage atau jalani penggambaran, tolong jangan cepat menilai,” pesannya.
Terdahulu, kenyataan seorang pengguna Threads yang membandingkan populariti dan kemampuan lakonan Nabila mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan netizen, sebelum rata-rata tampil mempertahankan keupayaan aktres berkenaan yang dianggap antara pelakon versatil tanah air.



