Viral

Situasi Cemas Peminat Muncul Ganggu Persembahan Afgan

Penyanyi terkenal Afgan berdepan detik cemas apabila persembahannya di sebuah pusat beli-belah popular di Jakarta terganggu akibat tindakan luar kawalan seorang wanita pada Khamis.

Insiden yang berlaku di Grand Indonesia itu tular di media sosial selepas beberapa video menunjukkan suasana acara bertukar kecoh dalam sekelip mata. 

Ketika pengunjung sedang leka menikmati nyanyian Afgan, seorang wanita tiba-tiba mencuri perhatian apabila berdiri di bahagian tingkat atas sambil memegang mikrofon dan pembesar suara mudah alih miliknya sendiri.

Percakapan wanita tersebut menerusi mikrofon dipercayai mengganggu persembahan sehingga membuatkan ramai pengunjung mula panik dan tertanya-tanya tentang situasi sebenar yang berlaku.

Pihak keselamatan kemudian tampil cuba meredakan keadaan secara baik namun wanita berkenaan dikatakan enggan memberi kerjasama dan terus bercakap tanpa henti. 

Keadaan menjadi semakin tegang apabila petugas bertindak mengambil mikrofon serta pembesar suara yang digunakan dan video insiden berkenaan menjadi tular di media sosial.

Tidak berpuas hati dengan tindakan itu, wanita terbabit dilihat meronta-ronta sambil terus membuat kecoh sehingga mencetuskan suasana cemas dalam kalangan pengunjung yang berada di lokasi.

Apa yang lebih mengejutkan, wanita itu turut bertindak agresif dan dikatakan seolah-olah cuba terjun dari tingkat atas pusat beli-belah berkenaan sebelum berjaya dikawal oleh pihak keselamatan.

Susulan insiden tersebut, persembahan Afgan terpaksa dihentikan seketika demi keselamatan orang ramai. Namun beberapa minit kemudian, penyanyi itu kembali meneruskan persembahan selepas keadaan berjaya dikawal.

Related Articles

Back to top button