Setia Temani Polis, Anjing Ini Jadi Kesayangan Pengguna Jalan Raya

Pengguna jalan raya yang melalui Jalan Parlimen pada waktu pagi hari bekerja mungkin akan perasan satu pemandangan luar biasa, iaitu seekor anjing jalanan yang tenang bertugas bersama anggota polis trafik.
Menurut The Star, anjing berwarna coklat cair yang mesra dikenali sebagai Jon itu telah muncul di kawasan tersebut sejak dua tahun lalu, menyapa pemandu dan menemani anggota polis ketika mengawal lalu lintas.
Jon sering dilihat berada di persimpangan menuju Taman Tugu dan Bukit Aman, seolah-olah membantu anggota polis mengawal aliran kenderaan ketika waktu puncak.
Walaupun tidak mempunyai latihan rasmi, anjing yang ramah itu kini menjadi figura yang kerap dilihat, setia berada di tepi jalan dan sentiasa dekat dengan anggota yang bertugas.
Pemandangan mencuit hati ini turut menarik perhatian Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang berkongsi hantaran santai mengenai Jon di Facebook.

Dalam hantaran tersebut, PDRM turut berseloroh membayangkan perbualan antara anggota polis dan Jon.
Seiring masa, Jon bukan lagi sekadar anjing jalanan, tetapi menjadi si comel yang menenangkan dan dikenali oleh anggota trafik serta pengguna jalan raya di sekitar Jalan Parlimen.
Seorang netizen turut berkongsi bahawa kehadiran Jon sudah menjadi kebiasaan bagi mereka yang melalui kawasan tersebut setiap hari.
“Saya nampak ini setiap pagi dalam perjalanan ke tempat kerja. Bila anggota trafik benarkan satu laluan bergerak, Jon akan berdiri teguh dan ‘halang’ arah bertentangan. Hebat macam mana anjing boleh faham disiplin trafik,” tulis pengguna itu.



