Global

Peminat Didakwa ‘Tekan’ Media Menerusi Kiriman E-mel Besar-Besaran, Isu Cukai Cha Eun Woo Kembali Panas

Portal Break News Australia menerbitkan satu laporan eksklusif oleh mengenai dakwaan cubaan memanipulasi media oleh peminat pelakon dan idol Cha Eun Woo.

Menurut laporan yang dikeluarkan pada 12 April, puluhan wartawan dari organisasi media utama Korea Selatan termasuk Chosun Ilbo dan SBS menjadi sasaran kempen emel secara besar-besaran pada malam 11 April lalu.

Komunikasi tersebut, yang dihantar oleh seorang peminat dikenali sebagai Lee Hee Sun dari komuniti DC Inside (Cha Eun Woo Gallery), didakwa bertujuan untuk menekan pihak media agar melaporkan yang caj tambahan cukai sebanyak 13 bilion won Korea (sekitar USD8.76 juta) yang dikenakan terhadap artis itu tidak dikategorikan sebagai pengelakan cukai.

Kempen tersebut dilihat cuba mempengaruhi persepsi awam dengan menggunakan tafsiran sempit terhadap penalti cukai, walaupun jumlah penalti yang dikenakan adalah besar.

Dalam laporannya, wartawan Park Cheol Seong menegaskan hujah tersebut mengandungi kesilapan logik. Naratif peminat menyatakan yang kerana pihak National Tax Service (NTS) mengenakan penalti pelaporan kurang biasa dan bukannya penalti penipuan, ia membuktikan artis tersebut tidak bersalah.

Namun, Cheol Seong menjelaskan tafsiran itu merupakan penyalahgunaan konsep undang-undang. Jenis penalti hanya mencerminkan tahap niat yang dapat dibuktikan dari segi undang-undang, dan tidak menafikan kewujudan caj tambahan sebanyak 13 bilion won yang dikaitkan dengan struktur syarikat kertas yang bermasalah.

Sebagai perbandingan, dia menyifatkan logik tersebut seperti seorang pemandu yang mendakwa tidak melanggar had laju hanya kerana dikenakan saman lebih ringan akibat tiada rekod kesalahan sebelum ini.

Fakta yang dibentang turut mencadangkan yang ini mungkin usaha tersusun dan bukan tindakan individu semata-mata. Hujah tiada pengelakan cukai itu dilaporkan telah tersebar luas dalam komuniti DC Inside Cha Eun Woo Gallery sebelum emel dihantar kepada wartawan.

Pengirim emel, Lee Hee Sun, turut mengakui kepada wartawan yang dia telah menghubungi pelbagai organisasi media beberapa kali sejak Januari 2024. Wartawan tersebut menyatakan senarai emel wartawan yang digunakan menunjukkan kemungkinan wujud perancangan teratur untuk mempengaruhi naratif berhubung penalti 13 bilion won itu.

Sebagai penutup laporan eksklusifnya, Park Cheol Seong mengemukakan beberapa persoalan langsung kepada Lee Hee Sun bagi memastikan akauntabiliti terhadap dakwaan campur tangan media ini.
Antara soalan yang dibangkitkan termasuk siapa yang mengumpul senarai emel wartawan dan melalui kaedah apa, sama ada wujud perancangan tersusun dalam komuniti tersebut, serta kekerapan dan skala penghantaran emel sejak Januari.

Dia turut menetapkan tempoh tiga hari bekerja untuk menerima maklum balas, dan menyatakan bahawa kegagalan untuk menjawab akan direkodkan serta disebut dalam laporan susulan.

Sumber: Allkpop

Related Articles

Back to top button