Film

Berbekal Bajet RM1,000, ‘LIFE’ Buktikan Mampu Tembus Pasaran Dunia & Menang Di Festival Antarabangsa

Filem pendek tempatan berjudul LIFE – Living In Fear Everyday mencipta kejayaan membanggakan apabila berjaya menembusi pelbagai festival filem antarabangsa, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.

Diarahkan oleh Justin Franz di bawah syarikat penerbitan Bags of Flavour Films, LIFE tampil berbeza apabila dihasilkan sebagai filem senyap dengan bajet kurang daripada RM1,000, namun berjaya membuktikan bahawa kekuatan penceritaan mampu mengatasi kekangan kewangan dan teknologi.

Filem berdurasi 40 minit itu lahir daripada pengalaman peribadi pengarahnya sendiri yang menyentuh aspek empati dan kemanusiaan. Daripada detik tersebut, Justin mengetengahkan pendekatan penceritaan tanpa dialog, dengan memberi fokus kepada emosi dan visual sebagai medium utama.

Menariknya, LIFE hanya dihasilkan oleh dua individu iaitu Justin Franz yang bertindak sebagai penulis, pengarah dan penerbit, serta Suran Hassan sebagai pengarah fotografi. Tanpa kru besar atau pelabur, mereka menggunakan dua unit telefon pintar untuk menjalankan keseluruhan proses penggambaran.

Barisan pelakon pula terdiri daripada individu pelbagai latar belakang termasuk mereka yang tidak mempunyai pengalaman lakonan seperti Max Gauduchon, Ken Thayalan, Elli Famira, Aairenee Zarina dan Rika Adrina. Keterbatasan ini secara tidak langsung memberikan elemen lakonan yang lebih jujur dan realistik.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk kekangan masa, tenaga dan penolakan daripada pihak tertentu, Justin dan Suran kekal dengan visi mereka untuk menghasilkan karya yang berteraskan penceritaan tulen.

Usaha tersebut akhirnya membuahkan hasil apabila LIFE berjaya diterima di beberapa festival filem antarabangsa termasuk di United Kingdom, Amerika Syarikat, Thailand, Kanada dan India.

Lebih membanggakan, Justin berjaya merangkul anugerah Pengarah Debut Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Golden Lion di Kolkata, India.

Selain itu, LIFE turut memenangi dua anugerah di Festival Filem Antarabangsa Asia Tenggara di Thailand iaitu Filem Pendek Terbaik serta Pelakon Terbaik menerusi Max Gauduchon.

Kejayaan filem ini turut mendapat perhatian tokoh industri tempatan termasuk Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Pengerusi FINAS, Hans Isaac, selain menerima pujian daripada ramai selebriti tanah air.

Malah, LIFE turut mencipta sejarah tersendiri apabila mendapat penghormatan tayangan peribadi yang dihadiri pengarah tersohor Iran, Majid Majidi, sekali gus menjadikannya antara filem pendek Malaysia yang menerima pengiktirafan sedemikian.

Dari sudut pengarahan, Justin mengakui dirinya banyak dipengaruhi oleh pembikin filem terkenal dunia seperti Martin Scorsese, Quentin Tarantino, Kamal Haasan dan Denis Villeneuve, terutamanya dalam aspek penceritaan visual serta pendekatan emosi yang mendalam.

Sebagai pengarah yang tidak mempunyai latar belakang formal dalam bidang perfileman, Justin yang berasal dari Ipoh, Perak membuktikan bahawa minat dan keberanian mampu membawa seseorang melangkah jauh dalam industri kreatif.

Pada asasnya, LIFE bukan sekadar sebuah filem, tetapi satu karya yang mengangkat nilai kemanusiaan dan empati, selain menyampaikan mesej bahawa cerita yang jujur mampu merentas sempadan bahasa dan budaya.

Kini, LIFE terus melangkah ke hadapan dengan penyertaan dalam lebih banyak festival antarabangsa termasuk yang berkaitan dengan Anugerah Akademi, selain membuka potensi untuk dikembangkan menjadi filem panjang atau siri mini.

Kejayaan ini sekali gus menjadi simbol kepada kebangkitan sinema bebas Malaysia, membuktikan bahawa karya berkualiti tidak semestinya memerlukan bajet besar, sebaliknya cukup dengan visi, keberanian dan keikhlasan dalam berkarya.

Related Articles

Back to top button